Sebahagian kilang perabot Jokowi ranap dek kebakaran

Sebahagian kilang perabot Jokowi ranap dek kebakaran

JAWA TENGAH, Indonesia, 21 April – Satu kebakaran besar telah memusnahkan sebahagian daripada kilang perabot yang dimiliki Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo.

Kilang tersebut terletak di Zon Perusahaan Kalijambe, Wilayan Sragen di Jawa Tengah. Kejadian berlaku pada 4:30 petang Selasa, lapor akhbar The Jakarta Post.

Menurut beberapa saksi, kebakaran bermula dari ketuhar mengeringkan kayu. Tiada korban jiwa dilaporkan.

“Kebakaran dilihat menjulang dari bumbung bilik ketuhar itu dan kemudian ia pantas merebak ke bahagian lain.

“Pekerja cemas dan mereka cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam tetapi api cukup marak,” kata saksi, Agus Santoso.

Pegawai keselamatan di kilang berkenaan mengarahkan semua orang menyelamatkan diri dan menghubungi jabatan bomba.

Lebih 10 jentera bomba dikerahkan untuk memadam api.

Polis Surakarta turut mengerahkan kenderaan pancutan air untuk membantu memadamkan kebakaran kerana jentera bomba berdepan kesukaran untuk memadamnya. Ketua Polis Sragen, Ari Wibowo berkata, sebaik api dapat dikawal, polis menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kejadian.

Sebelum menyertai politik dan menjadi datuk bandar Surakarta, Jokowi merupakan ahli perniagaan perabot yang berjaya dan mengeksport perabotnya ke luar negara.

ARTIKEL YANG SAMA