Sebahagian lagi lebuh raya ‘Seria By-Pass’ ditutup

Sebahagian lagi lebuh raya ‘Seria By-Pass’ ditutup

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Julai – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan kepada orang ramai bahawa sebahagian lagi jalan Lebuh Raya “Seria By-Pass” menghala ke Bandar Seri Begawan akan ditutup sepenuhnya selama enam bulan, bermula pukul 10 pagi esok (13 Julai).

Menurut kenyataan Unit Perhubungan Awam JKR, penutupan jalan dari Persimpangan Seria sehingga ke Persimpangan Anduki sepanjang 3.5 km itu adalah bagi kerja-kerja menaik taraf lebuh raya berkenaan.

Sehubungan itu, para pengguna jalan raya yang datang dari Kuala Belait dan Seria, akan dilencongkan ke jalan lebuh raya “Seria By-Pass” yang baru, dan lampu isyarat sementara di kawasan Persimpangan Seria juga akan mula digunakan.

Kenyataan turut mengingatkan para pengguna jalan raya yang hendak menuju ke Seria dan Kuala Belait, bahawa lebuh raya “Seria By-Pass” baru akan dijadikan satu lorong bermula dari Persimpangan Anduki sehingga Persimpangan Seria.

JKR juga menasihatkan para pengguna jalan raya yang akan menggunakan jalan tersebut supaya akan sentiasa berhati-hati serta mematuhi had laju, papan-papan tanda arahan serta lampu isyarat yang disediakan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini.

Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Negara Brunei Darussalam dan e-mel ke alamat pro@pwd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA