Sebahagian Le...

Sebahagian Lebuh Raya ‘Seria By-Pass’ ditutup

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan memaklumkan bahawa sebahagian lagi Lebuh Raya ‘Seria By-Pass’ yang menghala ke Bandar Seri Begawan akan ditutup sepenuhnya buat sementara bagi kerja-kerja menaik taraf lebuh raya berkenaan bermula dari Persimpangan Mumong sehingga KM 12 Kuala Belait berdekatan Menara DST.

Pengguna-pengguna jalan raya yang hendak menuju ke Bandar Seri Begawan akan dilencongkan ke Lebuh Raya ‘Seria By-Pass’ baru.

Penutupan lebuh raya tersebut akan bermula pada 15 Februari 2017 selama enam bulan.

Sehubungan dengan itu, JKR dalam kenyataannya mengingatkan para pengguna jalan raya yang hendak menuju ke Kuala Belait, bahawa Lebuh Raya ‘Seria By-Pass’ baru dijadikan satu lorong di sepanjang lencongan berkenaan dan lampu isyarat baru di Persimpangan Mumong akan mula beroperasi.

Disebabkan penutupan jalan-jalan tersebut, para pengguna jalan raya yang akan menggunakan jalan tersebut dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi papan-papan tanda arahan yang disediakan untuk mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel pro@pwd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA