Sebahagian lesen perniagaan dikecualikan

Sebahagian lesen perniagaan dikecualikan

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Haji Ahmad (kpa-aj)

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Sebagai langkah berterusan untuk mempermudah memulakan dan menjalankan perniagaan di negara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan bagi sebahagian aktiviti perniagaan di bawah Jadual Akta Lesen Perniagaan (Penggal 127), 2015 dikecualikan daripada Lesen Perniagaan bermula 1 Januari 2016.

Aktiviti-aktiviti perniagaan berkenaan adalah seperti kedai roti, kedai makan, tempat kunjungan dan hiburan orang ramai yang lain, penjaja, peniaga kenderaan bermotor, stesen minyak termasuk tempat menyimpan minyak dan bahan-bahan mudah terbakar, kedai runcit, stor kayu dan kilang perabot serta bengkel.

Pengecualian ini diumumkan semasa sidang media yang berlangsung di Dewan Serba Guna Aras 6, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam, di samping Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Mohd Sunadi bin Haji Buntar dan Haji Idris bin Haji Mohd Ali, hari ini.

Inisiatif pembaharuan ini adalah tindakan lanjutan ke arah memudah cara dan memulakan perniagaan agar lebih mudah, cepat dan telus iaitu sebagai usaha berterusan kerajaan untuk mewujudkan suasana perniagaan yang pro-perniagaan dan mesra perniagaan di Negara Brunei Darussalam.

Haji Mohd ‘Abdoh (dua  dari kanan) ketika sidang akhbar bersama timbalan setiausaha tetap KHEDN yang lain.
Haji Mohd ‘Abdoh (dua dari kanan) ketika sidang akhbar bersama timbalan setiausaha tetap KHEDN yang lain.

Dengan peniadaan Lesen Perniagaan bagi sebahagian aktiviti perniagaan di bawah Jadual Akta Lesen Perniagaan (Penggal 127), 2015 yang disenaraikan berkenaan, pemeriksaan ke atas premis-premis perniagaan yang menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan berkenaan dan penguatkuasaan undang-undang serta peraturan yang berkaitan akan terus dilaksanakan dan dijalankan oleh agensi-agensi penguatkuasaan kementerian dan jabatan kerajaan mengikut perundangan, peraturan dan tatacara kementerian/jabatan berkenaan.

Walau bagaimanapun, bagi aktiviti-aktiviti perniagaan yang memerlukan kebenaran atau kelulusan agensi-agensi yang lain, maka perkara sedemikian adalah masih kekal dan perlu dipatuhi. Jika gagal, maka agensi-agensi yang berkaitan boleh bertindak untuk menyekat aktiviti perniagaan tersebut.

Pengusaha dan pemilik perniagaan serta orang ramai boleh merujuk kepada agensi-agensi penguatkuasaan yang berkenaan dan berkepentingan iaitu Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Bahagian Industri, Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Darat dan Bahagian Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) untuk mendapatkan keterangan dan maklumat lebih lanjut.

Menurut Haji Mohummad Sunadi, kategori-kategori perniagaan yang dikecualikan daripada keperluan lesen perniagaan merangkumi sebahagian besar perniagaan berdaftar di negara ini, dengan lebih 80 peratus kini tidak perlu mempunyai lesen perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA