Sebak berjauhan di pagi raya

Sebak berjauhan di pagi raya

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 20 Julai – Berjauhan dengan ahli keluarga dan sanak saudara semasa Hari Raya Aidilfitri memang agak sebak, lebih-lebih lagi apabila terdengar Takbir Raya berkumandang di pagi raya menyebabkan air mata mengalir, tapi demi mencari rezeki yang halal, semua itu dijadikan sebagai sebahagian daripada cabaran kehidupan.

Itulah antara luahan rasa beberapa orang warganegara asing yang terpaksa berjauhan daripada keluarga pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, kerana tidak berpeluang pulang untuk bercuti dan terpaksa menyambutnya di rantau orang.

Awang Zuberahmad, 49, yang berasal dari India, berkata berhari raya di rantauan sudah menjadi kebiasaannya sejak lebih 20 tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini dengan sebuah syarikat swasta.

Menurutnya, selepas menunaikan solat Hari Raya Aidilfitri pada hari pertama Lebaran, ayah kepada dua orang anak dengan yang sulung berusia 23 tahun dan kedua 19 tahun, itu akan terus mendapatkan pos telefon untuk membuat panggilan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada isteri, kedua-dua orang tua dan anak-anaknya.

Awang Zuberahmad menghiburkan hatinya dengan membuat panggilan kepada isteri dan anak-anaknya serta kedua orang tuanya, untuk bertanyakan keadaan sambutan hari raya di negaranya.
Awang Zuberahmad menghiburkan hatinya dengan membuat panggilan kepada isteri dan anak-anaknya serta kedua orang tuanya, untuk bertanyakan keadaan sambutan hari raya di negaranya.
Nuramin duduk bersembang di waktu petang bersama kenalan warga tempatan di kawasan Pekan Belait.
Nuramin duduk bersembang di waktu petang bersama kenalan warga tempatan di kawasan Pekan Belait.
Sulistyoningsih tidak berdaya menahan air mata setiap kali membuat panggilan ke kampung halamann-ya.
Sulistyoningsih tidak berdaya menahan air mata setiap kali membuat panggilan ke kampung halamann-ya.

Semasa ditemui Media Permata, hari ini, Awang Zuberahmad, sedang membuat panggilan ke India, untuk bertanyakan suasana hari raya keluarga beliau di tanah airnya.

Katanya, biarpun sudah biasa berjauhan semasa hari raya tetapi apabila terdengar suara ahli-ahli keluarganya, titisan air mata tidak dapat dibendungnya.

“Sambutan hari raya di India amat meriah, kerana pada hari pertama, kedua dan ketiga, semua keluarga berkumpul, menjamu selera, sambil bertanyakan khabar, tidak jauh bezanya saya lihat keadaan sambutan di sini oleh kalangan penduduk di negara ini,” katanya.

Menceritakan pengalaman beraya di negara ini, katanya, pada hari raya pertama lazimnya dia dan kawan-kawan sebilik akan berkunjung ke rumah majikan, selepas itu tengah hari dia sudah memulakan semula tugasnya.

Sementara itu, Nuramin, 51, yang ditemui sambil duduk di kawasan Pekan Belait bersama seorang rakan orang tempatan, berkata selama lapan tahun dia bekerja di negara ini sebagai nelayan, dia hanya pulang untuk bersama keluarga semasa Hari Raya Aidiladha, kerana memberikan peluang kepada rakan-rakan sekerja lainnya pulang bercuti di Hari Raya Aidilfitri.

“Memang perasaan rindu semasa Hari Raya Aidilfitri kepada keluarga itu ada, saya tidak menafikan, tetapi, demi mencari rezeki yang halal, saya mesti tabah menghadapi semuanya, dan demi kemajuan persekolahan anak-anak saya, ini adalah sebahagian daripada pengorbanan sebagai seorang ayah,” katanya.

Ayah kepada dua orang anak itu berkata, mereka diberikan cuti selama dua hari, yang mana pada Hari Raya pertama beliau akan menunaikan solat di masjid kemudian berkunjung ke rumah kawan-kawan sesama warga Indonesia yang berdekatan sebelum pulang.

Seorang lagi warga asing yang ditemui sedang membuat panggilan kepada dua orang anaknya di Indonesia, Sulistyoningsih, 50, berkata beliau yang sudah bekerja selama enam tahun di negara ini, tidak pernah pulang semasa Sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, beliau yang bekerja sebagai tukang jahit di Pekan Belait memberitahu, dua minggu lagi dia akan pulang ke negara asal untuk selamanya, kerana sudah menamatkan kontrak pekerjaannya di negara ini, dan menurutnya, anak-anaknya juga sudah tamat persekolahan universiti.

“Saya datang ke negara ini, bekerja untuk membantu biaya anak-anak sekolah, dan Alhamdulillah kedua-dua anak saya sudah tamat menuntut dan mereka menyuruh saya pulang untuk bersara di kampung saja,” katanya.

Biarpun terlewat tidak dapat bersama keluarga pada hari raya pertama, tetapi dia merasa tahun ini amat bertuah baginya kerana, masih akan berkesempatan merasakan hari raya bersama anak-anak dan suaminya di kampung semasa bulan Syawal.

ARTIKEL YANG SAMA