Sebanyak 64 penerbangan haji dari tujuh stesen

Sebanyak 64 penerbangan haji dari tujuh stesen

PETALING JAYA, 12 Ogos – Sebanyak 64 penerbangan dari tujuh lapangan terbang di seluruh negara akan membawa 22,320 jemaah ke Tanah Suci bagi musim haji tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Tabung Haji (TH) Datuk Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata, satu lagi stesen berlepas baharu akan dibuka di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Baharu bagi membawa 990 bakal haji terus ke LapanganTerbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Tanah Suci.

“Tahun ini TH masih menggunakan pesawat Malaysia Airlines dan Saudi Airlines bagi membawa 22,320 jemaah,” katanya kepada pemberita selepas menghantar pasukan petugas kumpulan ketiga untuk Musim Haji 1436H di Kompleks TH di Kelana Jaya di sini hari ini.

Seramai 22 wakil media dan 84 pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan adalah antara 211 petugas kumpulan ketiga yang berlepas hari ini.

Syed Salleh yang juga Ketua Rombongan Haji musim ini berkata tahun ini, TH telah memberikan lesen kepada 18 syarikat swasta termasuk anak syarikat THiaituTH Travel & Services untuk mengendalikan pakej haji.

“Saya juga ingin menasihatkan semua bakal haji supaya berhati-hati dan tidak mendaftar dengan syarikat yang tidak berlesen bagi mengelakkan sebarang masalah,” katanya.

Beliau juga turut menasihatkan jemaah haji untuk menjaga kesihatan kerana musim haji kali ini berlaku pada musim panas dengan suhu yang mampu melebihi 40 darjah Celsius.

“Kita minta supaya semua bakal haji kali ini tidak terlalu terdedah kepada cahaya matahari di Tanah Suci nanti dan sentiasa menjaga kesihatan agar dapat melakukan ibadah dengan sempurna,” katanya.

Syed Salleh berkata pihaknya telah menyediakan empat pusat rawatan kesihatan iaitu tiga di Mekah dan satu di Madinah dengan 260 katil bagi jemaahhaji mendapatkan rawatan doktor pakar dari Kementerian Kesihatan.

Penerbangan pertama jemaah haji akan bermula pada pukul 5.30 pagi Ahad ini, dan penerbangan terakhir pada 16 September manakala penerbangan pulang jemaah akan bermula pada 29 September hingga 27 Oktober depan, katanya.

Beliau berkata kuota haji dari Malaysia untuk tahun ini masih kekal seramai 22,320 orang, kurang 20 peratus daripada jumlah kuota sebenarkerana kerja pembangunan di Masjidil Haram masih belum selesai sepenuhnya.

“InsyAllah tahun depan kuota jemaah haji kita akan kembali seperti biasa iaitu seramai 27,900 orang,” katanya. – Bernama