Sebar kesedar...

Sebar kesedaran sivik kepada pelajar

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Lebih 250 orang pelajar Tahun 9 dan 10 Sekolah Menengah Chung Hwa di ibu negara telah menghadiri Program Rakan Remaja Penerangan yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai.

Program Rakan Remaja Penerangan itu merupakan program persembahan khusus bagi golongan remaja terutama bagi pelajar sekolah dalam menyebarluaskan maklumat semasa.

Objektifnya adalah untuk mendekati para remaja di sekolah-sekolah supaya mereka peka dengan perkembangan semasa, menanamkan semangat kenegaraan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan remaja serta menjadikan pelajar sebagai ejen dalam penyebaran maklumat yang positif dan berkesan kepada rakan sebaya.

Ia juga bertujuan untuk memberikan kesedaran sivik dan semangat kenegaraan terutama kepada golongan remaja ke arah pembentukan minda dan moral positif dan dalam masa yang sama, ia adalah untuk mendekati golongan belia dan remaja di sekolah-sekolah melalui seni hiburan yang terarah dan terpimpin. Program tersebut diserikan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dan lagu patriotik ‘Bendera Negara’ diiringi oleh penuntut-penuntut Tahun 9 dan 10 sekolah berkenaan.

Denis Ho Mun Tai (dua kiri) yang hadir selaku tetamu kehormat.
Denis Ho Mun Tai (dua kiri) yang hadir selaku tetamu kehormat.

Pengetua Sekolah Menengah Chung Hwa, Kho Guik Lan berharap pelajar akan menggunakan peluang dan kesempatan dalam program berkenaan untuk mempelajari dan menghayati
acara yang disediakan.

Beliau juga percaya bahawa program tersebut akan dapat menanamkan semangat kenegaraan serta rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar.

Menurutnya lagi, kesedaran mengenai tanngungjawab sosial akan menjadi wadah pembentukan minda dan moral remaja serta memupuk semangat patriotisme, semangat kekitaan dan nilai positif ke arah melahirkan tunas bangsa yang berkualiti seiring dengan Wawasan Brunei 2035.

Taklimat Kenegaraan dimulai dengan tayangan video ‘Kibarkan Bendera Negara Dengan Megah’ dan diteruskan taklimat bertajuk ‘Menghayati Bendera dan Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam’ yang disampaikan oleh Pegawai Penerangan, Ketua Unit Kenegaraan, Hajah Hamsah binti Datu Kerna Haji Jaya di Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan.

Program yang dimeriahkan dengan lawak jenaka dan kuiz yang disampaikan oleh pelawak undangan tanah air seterusnya penyampaian hadiah kepada lima orang pelajar yang berjaya menjawab kuiz berkenaan dan disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.