Sebastian Coe presiden baru IAAF

Sebastian Coe presiden baru IAAF

BEIJING, 19 Ogos – Sebastian Coe dari Britain dipilih sebagai Presiden Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang baharu, di sini, semalam.

Pemenang pingat emas Olimpik 1980 dan 1984 bagi acara larian 1,500 meter itu menewaskan Sergey Bubka dalam pemilihan badan induk olahraga dunia di Pusat Konvensyen Beijing.

Coe menang dengan majoriti 23 undi selepas memperoleh sebanyak 115 undi daripada 207 ahli persatuan yang melakukan undian pada pemilihan itu.

Tugasan pertama lelaki berusia 58 tahun itu sebagai presiden IAAF adalah mempertahankan olahraga daripada dakwaan doping secara meluas yang membayangi kejohanan dunia yang akan bermula di Beijing Sabtu ini.

Coe telah menyuarakan kemarahannya dalam media British dan Jerman terhadap dakwaan IAAF telah gagal untuk mengambil tindakan susulan ke atas ujian darah mencurigakan melibatkan ratusan atlet antara 2001 dan 2012, dan menyifatkan dakwaan seperti itu sebagai ‘perisytiharan perang’ terhadap sukan.

Sebastian Coe ketika tiba untuk sidang media di Beijing petang tadi. – Reuters
Sebastian Coe ketika tiba untuk sidang media di Beijing petang tadi. – Reuters

Beliau menentang cadangan bahawa badan yang mengawal sukan sebagai bersalah kerana dikatakan melindungi pendedahan data bocor daripada 12,000 ujian darah yang berpotensi memudaratkan.

Manifesto Coe termasuk komitmen untuk berpisah daripada Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dan menubuhkan sebuah badan anti-doping bebas serta penubuhan sebuah jabatan etika baru IAAF.

Bubka yang juga pemenang pingat emas acara lompat galah Olimpik 1988 dan juara dunia sebanyak 10 kali, mendapat 92 undi.

Jawatan Presiden IAAF sebelum ini disandang oleh Lamine Diack, 82, dari Senegal, yang tidak mempertahankan kedudukannya selepas 16 tahun berkuasa. – AFP