Sebilangan pemain bintang terlepas Copa America

Sebilangan pemain bintang terlepas Copa America

pg22_160606_a

SANTA CLARA, Amerika Syarikat, 5 Jun – Kejohanan Copa America berdepan krisis kecederaan membabitkan bintang ternama selepas James Rodriguez menyertai Lionel Messi dan Luis Suarez dalam senarai kecederaan.

Kejohanan yang menampilkan kelibat pemain ternama dunia terpalit dengan masalah kecederaan yang memaksa beberapa pemain terpaksa menarik diri meskipun aksi baharu saja berlangsung dua hari.

Bintang Real Madrid itu dilihat mengalami kesakitan di bahagian bahu sebelum dikeluarkan pada babak kedua ketika Colombia meraih kemenangan 2-0 ke atas Amerika Syarikat, kelmarin.

Begitupun, pengendali Colombia, Jose Pekerman optimis betapa kecederaan yang dialami Rodriguez itu tidak akan mengetepikannya untuk perlawanan menentang Paraguay di Pasadena Rose Bowl, esok.

“Saya berharap kecederaannya tidak serius. Saya tidak mahu berfikiran negatif kerana saya mahukan dia beraksi.

“Semoga kami menerima berita baik memandangkan dia (Rodriguez) adalah kapten dan pemain yang penting buat pasukan ini,” katanya.

Selain Messi, Suarez dan Rodriguez, rakan sepasukan Rodriguez di Real Madrid yang juga adalah penjaga go Costa Rica, Keylor Navas turut diketepikan akibat masalah kecederaan.

Malah, Brazil turut berdepan masalah sama yang menyaksikan penyerang, Neymar terpaksa menarik diri daripada beraksi di Copa America berikutan dia akan beraksi di Olimpik sementara lima pemain lain terpaksa menarik diri akibat kecederaan termasuklah Kaka dan juga bintang Bayern Munich, Douglas Costa.

Selain Kaka dan Costa, pemain lain yang turut mengalami kecederaan adalah Ricardo Oliveira Santos, penjaga gol, Ederson dan pemain tengah Barcelona, Rafinha. – AFP