Sebuah kereta langgar tiang elektrik

Sebuah kereta langgar tiang elektrik

KUCHING, 8 Nov (Bernama) – Sebuah kenderaan pacuan empat roda merempuh sebuah tiang elektrik yang juga menara pengagihan elektrik di sini awal hari ini menyebabkan ia tumbang merintangi laluan Jalan Tun Jugah menghala ke lapangan terbang antarabangsa, kata polis.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata menara penghantaran 33KV itu tumbang selepas kenderaan jenis Triton itru terbabas ke sebelah kiri jalan sebelum melanggarnya pada 7 pagi namun pemandunya menghilangkan diri apabila polis tiba di tempat kejadian.

“Kes disiasat kerana memandu secara cuai,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sarawak Energy Bhd (SEB) dalam satu kenyataan pula berkata kerja-kerja sedang dijalankan bagi memindahkan tiang elektrik itu daripada menghalang lalu lintas.

Kerja-kerja berkenaan mungkin mengambil masa sekurang-kurangnya lima jam bagi menyelamatkan dua menara atau tiang bersebelahan daripada turut tumbang, kata kenyataan itu.

Syarikat itu berharap kerja-kerja itu dapat disiapkan menjelang 2 petang hari ini.

“Talian pengagihan yang tumbang ini tidak aktif selepas kabel baharu kepada pencawang lapangan terbang mula berfungsi.

Talian ini bertindak sebagai penyokong alternatif untuk pemulihan bekalan dengan segera jika berlaku sebarang kerosakan pada kabel baharu dari pencawang pintasan 33KV ke pencawang 33KV lapagan terbang,” kata kenyataan itu.