Sebutan hukuman kes curi 23 Dis ini

Sebutan hukuman kes curi 23 Dis ini

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151223_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Dis – Mahkamah Majistret di sini, telah menetapkan 23 Disember untuk menjatuhkan hukuman ke atas seorang lelaki Malaysia yang terdesak untuk mencuri akibat kesempitan wang.

Rafidy bin Matbaraim mengaku bersalah di hadapan Majistret Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman atas pertuduhan mencuri empat biji tayar kereta dari kawasan sebuah rumah di Jalan Kota Batu, Kampung Dato Gandi pada 6 Disember kira-kira jam 3:41 pagi.

Tertuduh dalam rayuannya memohon kepada mahkamah untuk mengurangkan hukuman kerana dia tidak memiliki rekod jenayah dan terpaksa menyara keluarganya.

Memandangkan isteri tertuduh warga tempatan dan mempunyai kepentingan di negara ini, Majistret membenarkan tertuduh dilepaskan atas ikat jamin $2,000 atau seorang penjamin tempatan. Majistret Hajah Ervy turut mengarahkan pasport tertuduh ditahan.

Fakta kes menyebut, pemilik rumah yang menyedari empat tayar keretanya telah hilang pada jam 8 pagi terus memeriksa kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki bertopeng berjalan ke arah garaj dan membawa pergi empat tayar terbabit.

Pemilik rumah terus membuat laporan polis dan siasatan membawa kepada tangkapan tertuduh dua hari kemudian.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayangku Hazirah binti Pengiran Mohd Yusof.

ARTIKEL YANG SAMA