Sebutan kes culik pelajar ditangguhkan

Sebutan kes culik pelajar ditangguhkan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_160620_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Mahkamah Majistret di sini, semalam, menangguhkan sebutan kes culik pelajar perempuan bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan bukti baru dan memuktamadkan pertuduhan.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman memohon penangguhan selama dua minggu.

Brahim bin Haji Kassim, 63, berdepan dakwaan menculik pelajar berusia 10 tahun di kawasan sekolah di Daerah Belait antara jam 6:30 dan 7 pagi, pada 14 Mei 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang membawa pemenjaraan untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun, dan juga denda.

Ketua Majistret meminta Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan bukti yang cukup kukuh untuk meneruskan pendakwaan sambil menetapkan 2 Julai untuk sebutan kes, dan melanjutkan tempoh ikat jamin tertuduh.