Sebutan kes ditangguhkan

Sebutan kes ditangguhkan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151029_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Okt – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menangguhkan sebutan bagi tiga orang lelaki warga Malaysia yang berdepan dua pertuduhan menganjur dan mengambil bahagian dalam demonstrasi yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Ketenteraman Awam.

Majistret Kanan Haji Nabil Daraina bin PUKDPSS Ustaz Haji Awang Badaruddin menangguhkan sebutan untuk Choo Chor Hiang, Seyu Ah Ling dan Chan Mee Eng selama dua minggu bagi membolehkan peguam bela yang baru dilantik, Rozaiman Rahman meneliti kes dokumen.

Choo Chor Hiang berdepan pertuduhan mengambil bahagian dalam menganjurkan kumpulan yang menyalahi undang-undang pada 29 Ogos, tanpa mendapat kebenaran daripada Suruhanjaya Polis.

Kesalahan yang dilakukan membawa hukuman penjara tiga tahun dan denda $5,000.

Choo Chor Hiang, Seyu Ah Ling dan Chan Mee Eng didakwa telah berhimpun pada tarikh yang sama bersama beberapa orang individu lain, untuk tujuan menyatakan pendapat dalam hal kepentingan awam. Individu lain dipercayai masih bebas.

Kesalahan ini membawa kepada penjara selama setahun dan denda $1,000.

Majistret Kanan melanjutkan ikat jamin $2,000 atau seorang penjamin tempatan untuk setiap tertuduh.

Kes mereka ini dikaitkan dengan satu kejadian yang mana, gambar-gambarnya yang disebarkan melalui media sosial WhatsApp menunjukkan lelaki dan wanita memakai baju kuning, dengan berlatarbelakangkan mercu tanda Brunei.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin Haji Kamaluddin.

ARTIKEL YANG SAMA