Sebutan kes pukul polis 22 Okt ini

Sebutan kes pukul polis 22 Okt ini

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Sept – Kes seorang lelaki tempatan yang berdepan tuduhan menyebabkan kecederaan ke atas seorang anggota polis akan disebut semula pada 22 Oktober 2015.

Pengiran Azizul Akbar bin Pengiran Haji Badaruddin, 43, didakwa mencederakan APO 6383 Haji Mohd Zulhabri bin Haji Mohd Yassin dengan memukul mangsa beberapa kali di bahagian kepala pada 11 Ogos 2015 kira-kira jam 7 malam di Tasek Apartment dekat ibu negara.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 325 Kanun Hukuman Jenayah, Penggal 22 yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhayati binti Dato Paduka Haji Omar memohon penangguhan sehingga tarikh sebutan semula memandangkan pihak polis masih menjalankan siasatan dan masih menunggu keputusan ujian DNA.

Tertuduh kini diwakili Peguam Bela Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman.

Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain membenarkan ikat jamin tertuduh dilanjutkan.

pg06_150911_mahkamah logo

ARTIKEL YANG SAMA