Sebutan kes rasuah, menipu Jun tahun depan

Sebutan kes rasuah, menipu Jun tahun depan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Mahkamah Majistret menetapkan Jun 2016 untuk perbicaraan dua lelaki tempatan yang mengaku tidak bersalah atas dakwaan rasuah dan menipu pada 2013.

Latif bin Haji Salleh, 56, berdepan 15 pertuduhan menerima dan memberi rasuah, dan juga menipu.

Dia didakwa menerima rasuah $50 daripada lima orang warga Indonesia pada 5 April 2013 di empat tempat berasingan, dengan menggunakan kuasa seorang pegawai imigresen bernama Samsi bin Moktal yang bertugas di Pos Kawalan Kuala Lurah untuk melanjutkan tempoh pas melawat.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan memberi rasuah berupa ikan dan udang yang dianggarkan berharga $100 kepada Samsi untuk membantunya melanjutkan tempoh pas melawat bagi kelima-lima warga Indonesia tersebut antara Februari dan Mac 2013.

pg06_151218_mahkamah logo

Tertuduh pada Februari dan Mac 2013, di letak kereta National Inn Emporium, Kampung Madewa juga didakwa menyogok $200 ke $300 kepada Samsi sebagai ganjaran dalam membantunya melanjutkan tempoh pas melawat bagi lima orang warga Indonesia yang sama.

Tertuduh juga berdepan dakwaan menipu tujuh orang individu warga Indonesia yang lain sekitar Mac 2013, dengan memberitahu mereka bahawa dia sudah melanjutkan tempoh pas melawat mereka selama dua minggu, dan secara tidak jujur menerima $50 daripada mereka.

Sementara itu, Samsi bin Moktal, 40, yang merupakan seorang pegawai imigresen yang bertugas di Pos Kawalan Kuala Lurah pula berdepan enam pertuduhan rasuah.

Dia berdepan dakwaan menerima rasuah berupa ikan dan udang daripada Latif antara Februari dan Mac 2013 di Pasar Ikan Gadong di mana makanan laut itu dianggarkan berharga $100 sebagai ganjaran untuk membantu melanjutkan tem-poh pas melawat untuk lima orang warga Indonesia.

Samsi juga berdepan menerima rasuah berjumlah antara $200 ke $300 pada Februari dan Mac 2013 di letak kereta National Inn Emporium, Kampung Madewa daripada orang yang sama sebagai ganjaran untuk membantu melanjutkan tempoh pas melawat bagi lima orang warga Indonesia itu.

Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin bin Haji Kamaluddin memberitahu Majistret Kanan Lailatul Zubaidah binti Haji Mohd Hussain bahawa 20 orang saksi akan dibawa ke mahkamah untuk memberikan keterangan.

Majistret Kanan melanjutkan ikat jamin kedua-dua tertuduh.

Latif diwakili oleh Peguam bela Ahmad Basuni manakala Samsi diwakili Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman.

ARTIKEL YANG SAMA