Sebutan semula kes kumpulan ‘Bersih’ pada Mac 2016

Sebutan semula kes kumpulan ‘Bersih’ pada Mac 2016

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_151126__mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Nov – Tujuh lelaki warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan terlibat dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang di bawah Akta Ketenteraman Awam.

Lima lelaki Malaysia iaitu Chong Wee Siong, 34, Victor Ng Kah Kien, 35, Goo Yee Ming, 32, Chai Ka Vui, 30, Lee Wai Yee, 31, dan dua lelaki Indonesia iaitu Asep Mamad berusia 31 tahun dan Dede Irpan, 25, didakwa terlibat dalam perhimpunan ‘Bersih’ bersama 11 individu lain untuk tujuan menyatakan pendapat dalam hal kepentingan awam.

Kesalahan dilakukan di kawasan Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong pada 29 Ogos.

Kesemua defendan kecuali Victor dan Goo mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Majistret Pengiran Shahyzul Khairuddien bin Pengiran Abdul Rahman menetapkan sebutan seterusnya pada Mac 2016.

Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin bin Haji Kamaluddin memohon mahkamah untuk menggabungkan kes bagi kesemua defendan dengan kes Choo Chor Hiang, 42, Seyu Ah Ling, 67, dan Chan Mee Eng, 64, yang turut berdepan dengan pertuduhan sama.

Terdahulu, Choo, Seyu dan Chan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di mana mahkamah telah menetapkan 18 hingga 23 April 2016 untuk tarikh perbicaraan.

Choo berdepan hukuman denda $5,000 dan tiga tahun penjara untuk pertuduhan menganjurkan perhimpunan, dan untuk pertuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan itu, Choo bersama sembilan defendan lain berdepan hukuman denda $1,000 dan setahun penjara.

ARTIKEL YANG SAMA