Sedekah yang sihat, berkualiti di bulan Ramadan

Sedekah yang sihat, berkualiti di bulan Ramadan

SAYA terpanggil untuk menulis mengenai dengan perkara sedekah di bulan Ramadan ini.

Setiap kali bulan Ramadan ramai pihak yang ingin menambah pahala dengan bersedekah barang keperluan kepada golongan-golongan tertentu seperti fakir miskin, mualaf, orang-orang berkeperluan khas dan sebagainya.

Di Negara Brunei Darussalam sendiri, sebagai seorang rakyat saya berasa senang hati mengetahui banyak kumpulan ataupun organisasi sama ada pihak kerajaan, swasta, belia masjid dan juga orang ramai sedang aktif membuat program-program amal untuk bersedekah di sepanjang bulan Ramadan ini.

Tahniah saya ucapkan. Teruskan usaha biskita membantu golongan yang memerlukan ini.

Cuma di sini saya ingin ‘menegur’ sedikit mengenai barang makanan yang disedekahkan. Bagi golongan yang memerlukan ini, saya pasti mereka mengharapkan barang keperluan yang asasi.

Persoalannya di sini, mengapa pihak yang mengadakan program berkebajikan ini meminta barang-barang bukan keperluan seperti mi segera, gula, minuman kordial, susu manis, susu cair, minuman manis (minuman ringan, bergas) sebagai barangan yang hendak disedekahkan?

Ada juga saya melihat gambar-gambar barangan tersebut melalui berita TV dan juga media sosial. Barang-barang tersebut nampak seperti keperluan tapi sebenarnya bukan.

Adakah kerana ia murah? Mungkin murah, tetapi adakah ianya sihat dan berkualiti?

Baru-baru ini saya terbaca mengenai kadar obesiti dan diabetes yang amat membimbangkan di negara ini.

Dalam berita (21 Jun 2016) juga ada menyeru pihak-pihak yang tertentu (kerajaan dan swasta) untuk sama-sama mengurangkan kadar obesiti dan diabetes ini.

Oleh itu, kepada pihak-pihak yang ingin bersedekah ini, bantulah Brunei untuk mengurangkan kadar penyakit-penyakit tidak berjangkit ini dengan bersedekah makanan yang sihat dan berkualiti.

Barang-barang bukan keperluan tersebut boleh digantikan dengan keperluan lain seperti beras, mi biasa (bukan mi segera), air mineral, buah-buahan (segar atau dalam tin), susu segar, ‘breakfast cereal’, amping, roti kering dan lain-lain.

Bersedekahlah dengan barang yang keperluan dan yang asasi. Semoga Allah menambah lagi pahala biskita yang ingin bersedekah dengan barang-barang keperluan yang lebih berkualiti ini.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pendapat saya ini, tetapi tidak mengapa.

Niat bukan untuk menghina atau mengutuk pihak yang berniat untuk bersedekah tapi untuk memperbetulkan ‘mindset’ kitani mengenai dengan ‘barang keperluan untuk disedekahkan sahaja’.

Perkara ini mungkin nampak ‘sedikit’ akan tetapi boleh memberi impak kepada kesihatan.

Diharap pihak-pihak yang berwajib juga akan mengambil kira mengenai dengan perkara ini. Satu cadangan, bolehkah pihak yang tertentu membuat ‘senarai barang-barang keperluan yang sesuai untuk dijadikan barang sedekah’? Jika sudah ada, sebarkan tia. Bersama ke arah warga sihat. – IK

ARTIKEL YANG SAMA