Sederetan rumah usang roboh di Sibu

Sederetan rumah usang roboh di Sibu

SIBU, 8 Jun – Dua pekerja binaan cedera apabila sederetan enam unit rumah kayu usang roboh di Jalan Hua Kiew di sini pada kira-kira 11 pagi ini.

Dua pekerja yang cedera dikenal pasti Bensin Benin, 36 dan Ta Gumbang, 45, bersama-sama tiga lagi rakan mereka sedang berehat selepas melakukan kerja merobohkan rumah kayu berkenaan ketika kejadian itu berlaku dalam keadaan hujan dan angin kuat.Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Sibu Kapten (Pertahanan Awam) Frankie John Jawan, Bensin mengalami luka calar di muka manakala Ta cedera di belakang kerana ditimpa struktur kayu yang runtuh.

“Mereka telah dihantar ke Hospital Sibu untuk rawatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang penduduk di kawasan itu, Ronnie Jamit, 30, pada 11.20 pagi.Katanya Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Sibu, Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis dan polis komuniti menghantar anggota untuk menyelamatkan mangsa. – Bernama