Sedia bagi ‘Junjung Ziarah’

Sedia bagi ‘Junjung Ziarah’

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 13 Ogos – Majlis Keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Bercemar Duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Tutong akan diadakan pada 18 Ogos ini di Padang kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Sehubungan dengan itu, raptai penuh persembahan khas yang akan diadakan semasa majlis itu nanti telah diadakan hari ini, disaksikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-69 tahun.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Seramai 569 peserta yang terdiri daripada para penuntut sekolah, dari beberapa puak dan masyarakat Daerah Tutong, kakitangan kerajaan dan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di daerah ini, terlibat dalam persembahan khas bertema ‘Raja Berwawasan Negara Cemerlang’.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin dan Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi ketika meninjau raptai penuh latihan persembahan.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Badaruddin dan Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi ketika meninjau raptai penuh latihan persembahan.
Tema persembahan ‘Raja Berwawasan Negara Cemerlang’ akan dapat dilihat pada 18 Ogos ini di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
Tema persembahan ‘Raja Berwawasan Negara Cemerlang’ akan dapat dilihat pada 18 Ogos ini di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Semasa temu bual bersama Media Permata, Yang Berhormat Pehin memberitahu tema dan persembahan amat jelas dan persembahannya menunjukkan masyarakat Brunei yang berjaya, dan beliau menyimpulkan persembahan kali ini dapat memperlihatkan peserta-peserta dari pelbagai bangsa dan puak bersatu padu.

Beliau turut menyatakan harapan agar generasi baru yang menyertai persembahan dan yang lain akan dapat menjadi generasi yang berjaya di bawah kepimpinan Baginda Sultan, iaitu sesuai dengan Wawasan Brunei 2035 yang dapat memperkukuhkan nilai-nilai keBruneian, beraja, nilai-nilai ugama, serta nilai-nilai tradisi seperti berbaik-baik antara kaum dan sebagainya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berharap persembahan yang akan dijalankan itu nanti akan menyerlah bagi setiap daerah dan diharap para peserta akan dapat membuat persembahan yang terbaik.

Dalam pada itu, beliau menyeru setiap daerah untuk memasukkan setiap elemen dan unsur kampung dan mukim dalam persembahan masing-masing.

Sementara itu, pengerusi persembahan khas di daerah ini, Awang Shahminan bin Haji Suhaili yang juga merupakan penulis skrip persembahan, menyatakan harapan agar para peserta dapat memberikan komitmen yang penuh serta mutu persembahan yang menarik.

Beliau menjelaskan bahawa proses latihan yang dijalankan mengambil masa tiga minggu dengan persembahan 16 minit itu mengandungi tiga segmen.

Di kesempatan itu juga, beliau mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga kerana membenarkan anak-anak mereka, serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung kerana melibatkan anak buah mereka dan ketua-ketua jabatan dalam acara persembahan.

ARTIKEL YANG SAMA