Sedia berubah ikut perubahan

Sedia berubah ikut perubahan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Mei – Pegawai-pegawai eksekutif parlimen bukan sahaja merupakan penasihat kepada Yang Di-Pertua Dewan tetapi mereka juga merupakan orang sumber kepada ahli-ahli parlimen, oleh itu, mereka harus sentiasa bersiap-sedia, mampu berubah mengikut perubahan serta memperoleh lebih banyak ilmu menerusi pembelajaran berterusan.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Pembangunan Kapasiti Manusia, Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-2 yang berlangsung di Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, hari ini.

Yang Dimuliakan Pehin Haji Judin menambah lagi bahawa tugas pegawai-pegawai eksekutif parlimen bukan sahaja terhad kepada kerja-kerja parlimen tetapi ia juga memerlukan mereka untuk mengetahui pelbagai aspek topik secara meluas termasuk politik, ekonomi, sosial, kebudayaan dan perkara-perkara relevan yang boleh menjadi isu semasa persidangan serantau dan antarabangsa atau mesyuarat yang dihadiri oleh mereka.

Beliau berkata lagi, walaupun mereka tidak mempunyai latar belakang akademik bagi sesetengah isu atau perkara, tetapi ilmu pengetahuan yang diperoleh melalui pembelajaran dan pengalaman yang luas akan banyak membantu mereka melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Menurut Yang Dimuliakan Pehin lagi, mendapatkan ilmu dengan belajar tidak ada penghujungnya dan di Brunei, konsep pembelajaran sepanjang hayat telah diperkenalkan.

Yang Dimuliakan Pehin Haji Judin menyampaikan ucapannya semasa perasmian bengkel dua hari berkenaan.
Yang Dimuliakan Pehin Haji Judin menyampaikan ucapannya semasa perasmian bengkel dua hari berkenaan.
Yang Dimuliakan Pehin Haji Judin bergambar ramai bersama para peserta bengkel.
Yang Dimuliakan Pehin Haji Judin bergambar ramai bersama para peserta bengkel.

Bengkel selama dua hari, sehingga esok, yang dianjurkan bersama oleh AIPA dan Deuytsche Gesekkschaft fur Intenationale Zusammenarbeit (GIZ) itu disertai oleh seramai 18 orang pegawai parlimen dari negara-negara anggota AIPA iaitu Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Republik Rakyat Laos, Myanmar, Thailand dan Vietnam.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli MMN, Yang Berhormat Haji Mohd Shafiee bin Ahmad, Setiausaha Agung AIPA, Yang Berhormat Periowsamy Otharam dan Penolong Penyelaras Teknikal GIZ, Pembangunan Kapasiti bagi AIPA, Bernardo R. Agawin.

Yang Berhormat Periowsamy Otharam dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa penyertaan para peserta bengkel diharap dapat membolehkan mereka memulakan draf awal pelan pembangunan kapasiti manusia parlimen masing-masing.

Di samping itu, mereka juga diharap akan dapat berbincang dan berkongsi pengalaman di antara satu sama yang lain berhubungan dengan kapasiti masing-masing.

Bengkel itu bermatlamat untuk meningkatkan kemahiran pegawai di parlimen-parlimen AIPA dengan membincangkan mengenai pembangunan kapasiti manusia dan menganalisis rangka kerja yang telah dibincangkan pada bengkel pertama yang telah diadakan di Kemboja pada 2015.

ARTIKEL YANG SAMA