Sedia hadapi cabaran

Sedia hadapi cabaran

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Seramai 17 pemain gabungan daripada Pasukan Pasadena, Chikara dan Comets disatukan sebagai satu pasukan yang bakal membawa nama negara dalam Kejohanan Sofbol Masters Wanita Kali Ke-2 2016 yang bakal berlangsung di Jakarta Indonesia Ogos 2016 ini nanti.

Sehubungan dengan itu, barisan pemain kini giat menjalani latihan bagi persiapan kejohanan di beberapa lokasi termasuk BootCamp Sdn Bhd di Menglait dan di Kompleks Sukan Berakas.

Ketika ditemui, pengurus pasukan berkenaan, Dayangku Norhhayati binti Pengiran Haji Hassan ketika ditemui menegaskan pasukan wanita Masters masih memerlukan banyak latihan bukan sahaja pada sebelah malam malah latihan pada sebelah petang,

“Namun kami berhadapan cabaran perlepasan daripada tugasan yang kini masih menunggu persuratan pihak berkenaan untuk dilanjutkan kepada pihak majikan bagi memastikan masa latihan berada di tahap optimum,” ujarnya.

Mengulas mengenai persiapan daripada aspek perlawanan persahabatan, katanya setakat ini perlawanan hanya tertumpu kepada pasukan junior dan akan mengatur lebih banyak perlawanan persahabatan sebelum berlepas ke Indonesia nanti.

Para pemain sofbol yang bakal membawa nama negara di kejohanan itu nanti.
Para pemain sofbol yang bakal membawa nama negara di kejohanan itu nanti.

“Jika daripada aspek kecergasan kami masih memerlukan lebih masa untuk membuat lebih banyak latihan berpusat seperti latihan tubi dan latihan litar yang kini dibuat di BootCamp dan ia sangat perlu untuk berhadapan dengan pasukan yang sememangnya terkenal seperti Jepun,” ujar Dayangku Norhhayati.

Beliau menyeru supaya semua pemain terus giat menjalani latihan, “Kita naik bersama dan mengangkat beban bersama sebagai sebuah pasukan dan saya percaya kerjasama merupakan kunci utama bagi memastikan kejayaan di pihak kita,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai perbelanjaan, menurutnya kami menggunakan perbelanjaan sendiri dan mengalu-alukan mana-mana pihak yang berkesudian untuk menyumbangkan keperluan dana berbentuk kewangan bagi keperluan kami di sana nanti.

ARTIKEL YANG SAMA