Sedia hadapi cabaran di Korea

Sedia hadapi cabaran di Korea

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Pasukan Bola Jaring 21 tahun ke bawah Negara Brunei Darussalam akan menyertai Kejohanan jemputan belia di Jeonju Korea yang bermula pada 28 Ogos 2016 ini.

Hasil daripada perbincangan bersama pihak penganjur dan Persatuan Bola Jaring Kebangsaan Brunei Darussalam bagi jemputan percubaan Kejohanan Belia Asia di Korea itu, skuad 21 tahun ke bawah negara mendapat tajaan tiket untuk menyertai kejohanan tersebut yang akan menguji pemain belia kita.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Jurulatih Bola Jaring Kebangsaan, Thilaka Jindasa ketika ditemui semasa pasukan bawah 21 tahun mengadakan latihan di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas baru-baru ini.

“Meskipun kami hanya mendapat berita penyertaan pada saat akhir namun kami tidak pernah berhenti berlatih dan meneruskan semua latihan fizikal dan permainan sejak pulang daripada Kejohanan Bola Jaring Asia di Thailand baru-baru ini” ujarnya lagi.

Menurutnya empat pemain daripada Kejohanan Bola Jaring Asia baru-baru ini akan menyertai kejohanan itu nanti dan enam lagi merupakan pemain baru pada persada antarabangsa meskipun salah seorang daripada mereka juga merupakan pemain pada Kejohanan Sukan Asia Tenggara yang lalu.

Barisan pemain 21 tahun ke bawah yang bakal bertolak ke Korea sedikit masa lagi.
Barisan pemain 21 tahun ke bawah yang bakal bertolak ke Korea sedikit masa lagi.

“Pada saya kita mempunyai peluang yang stabil namun mempunyai sedikit kelebihan daripada aspek pertahanan dan juga penjaring serta mempunyai peluang yang tinggi, tinggal lagi mereka untuk mengaut sebanyak mungkin pengalaman daripada jemputan ini nanti,” ujarnya.

Lima buah pasukan akan bertanding di dalam kejohanan itu termasuk Jepun, Korea, Chinese Taipei dan Hong Kong, namun beliau optimistik dengan penyertaan kali ini dan berharap mereka akan mencuba meraih tempat pertama atau kedua di dalam penyertaan itu nanti.

“Pemain perlu fokus untuk meneruskan perjuangan bola jaring negara sebagai salah satu usaha untuk membentuk sebuah pasukan yang matang di dalam kejohanan yang lebih besar di masa akan datang” tegasnya lagi.

Bakal memimpin selaku kapten pasukan bola jaring 21 tahun ke bawah Brunei Darussalam di Jeonju Korea nanti adalah Nur Syuhaidah Fahriyana binti Haji Sukri dan dibantu oleh Siti Nur Syaahidah binti Rashid selaku naib kapten.

Manakala senarai pemain lain adalah Siti Marhayati binti Ahmad, Siti Norsaihah binti Muhammad Adi Najmi, Dayangku Yura Rania Halimatus Sa’adiah binti Pengiran Haji Yura Halim, Dayangku Noor Izzathul Raihanah binti Pengiran Anak Mohd Harun, Eramardena Bantan, Dayangku Khalisha binti Pengiran Abdul Rahman, Dayangku Noor Nadziathul Nurul Nadiyah binti Pengiran Anak Mohd Harun dan Angeline Sii Yeng Peng.