Sedia hadapi cabaran Home United malam ini

Sedia hadapi cabaran Home United malam ini

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI  BEGAWAN, 22 Sept – Perlawanan menentang Home United FC esok (malam ini) dijangkakan begitu sengit dan penting bagi Brunei DPMM FC yang sangat memerlukan kemenangan untuk memastikan jurang kedudukan di dalam Liga Singapura dengan dua pasukan teratas tidak begitu jauh.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Steve Kean ketika ditemui  di Mini Stadium Jerudong apabila mengulas mengenai perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas itu. Menurutnya, jika menang pada perlawanan itu, ia akan memberikan tekanan kepada pasukan Tampines Rovers FC yang berada di kedudukan kedua dan menjauhkan lagi jurang antara Brunei DPMM FC dengan Home United yang kini berada di kedudukan keempat liga. “Latihan begitu menggalakkan dalam tiga minggu kebelakangan ini dan jika kita menang pasukan di bawah kita, Home United pastinya mempunyai tugas berat untuk mengejar dan sekali gus mengukuhkan kedudukan di dalam liga kali ini,” ujarnya.

Mengulas mengenai perlawanan itu lagi katanya, “Esok pastinya akan sukar apatah lagi dengan perubahan strategi dan idea pihak lawan dengan percaturan pemain yang sememangnya sukar dijangka.

Steve Kean ketika ditemui di Mini Stadium Jerudong. – Gambar Fadhil Yunos
Steve Kean ketika ditemui di Mini Stadium Jerudong. – Gambar Fadhil Yunos

Beliau menyatakan rasa leganya kerana tiada pemain yang terlibat dengan kecederaan atau mana-mana penggantungan perlawanan meskipun menurutnya Adi Said mendapat cedera  ringan dalam latihan namun menegaskan ia tidak serius.

“Pasukan Home United kini tampil dengan jurulatih baru dan ia menambah lagi kesukaran untuk kita menduga jenis permainan dan strategi pasukan pelawat dan pada saya pasukan itu dengan jurulatih sebelum ini sememangnya pasukan yang kemas dan berbahaya,” jelasnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA