Sedia hadapi cabaran

Sedia hadapi cabaran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Semua pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan calon-calon pegawai kadet harus mematuhi peraturan dan disiplin peperangan (Rules and Disciplines of War) di mana ia merupakan satu cabaran yang mereka perlu bersedia untuk tangani apabila mereka berjaya untuk menyertai ABDB.

Perkara itu ditekankan oleh Komandan Akademi Pertahanan, Leftenan Kolonel Saiful Akhmar bin Haji Mohd Shariff ketika berucap pada penutup proses pemilihan Lembaga Penauliahan Angkatan Tentera (AFCB) untuk dipilih sebagai bakal pegawai kadet bagi Sekolah Pegawai Kadet (OCS), yang berlangsung di Akademi Pertahanan, ABDB, Tanah Jambu, hari ini.

Oleh sebab itu, ulasnya lagi, para calon telah diberikan topik seperti hubungan antarabangsa dan sekuriti global untuk dibincangkan di peringkat awal pemilihan itu kerana mereka mungkin berpotensi terlibat dalam operasi sokongan pengaman di masa akan datang.

Beliau turut menekankan empat aspek utama yang perlu ada bagi setiap pemimpin tentera iaitu mereka harus mempunyai tahap kecergasan fizikal yang tinggi, mereka harus mengembangkan daya pemikiran dan minda supaya mampu untuk menilai sesuatu masalah secara kritis, harus peka mengenai hal ehwal antarabangsa dan politik serta berupaya untuk memegang tanggungjawab kepimpinan.

Antara calon-calon yang melalui proses pemilihan Lembaga Penauliahan Angkatan Tentera (AFCB) pengambilan ke-15.
Antara calon-calon yang melalui proses pemilihan Lembaga Penauliahan Angkatan Tentera (AFCB) pengambilan ke-15.

Leftenan Kolonel Saiful Akhmar juga mengingatkan kepada mereka yang berjaya dipilih bagi latihan pegawai kadet, supaya harus berpegang kepada tiga prinsip penting AAR iaitu autoriti yang hadir daripada penauliahan dan kedudukan kepimpinan mereka, akauntabiliti bagi setiap tindakan mereka tanpa mengira ia betul atau salah serta bertanggungjawab terhadap orang-orang di bawah mereka, berkhidmat untuk raja, negara dan ADBD.

Beliau turut menekankan bahawa standard yang ditetapkan dalam ABDB adalah lebih tinggi daripada organisasi awam kerana pihak ABDB menghendaki mereka untuk mempunyai standard yang tinggi serta nilai-nilai murni di mana ia diharapkan oleh masyarakat serta disokong oleh falsafah Melayu Islam Beraja dan budaya keBruneian.

Seramai 82 orang calon menjalani proses pemilihan AFCB pengambilan ke-15 berkenaan dan mereka yang berjaya dipilih untuk menyertai kursus latihan pegawai kadet akan melalui latihan selama setahun dan jika berjaya di akhir latihan itu, mereka akan ditauliahkan sebagai pegawai tentera di dalam ABDB.

ARTIKEL YANG SAMA