Sedia hadapi Geylang

Sedia hadapi Geylang

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Meskipun berada sembilan mata di belakang pendahulu Liga Singapura 2016 Albirex Niigata FC (S), ia bukanlah satu kerisauan yang perlu diberikan perhatian kerana apa yang lebih penting ialah persembahan dan prestasi pemain ke tahap yang dihasratkan.

Perkara itu dijelaskan oleh Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Steve Kean ketika ditemui sejurus selesai sesi latihan terakhir Brunei DPMM FC sebelum melayan kunjungan Geylang International FC malam esok.

“Ia bukanlah perkara yang besar kerana kita mempunyai corak permainan dan beberapa kelebihan untuk merapatkan lagi kedudukan dan pada saya, persembahan dan prestasi pemain adalah lebih penting di samping melihat perkembangan pemain dalam mencipta peluang di beberapa perlawanan kebelakangan ini,” ujarnya.

Beliau menyuarakan rasa positif melihat prestasi anak-anak didiknya dan menegaskan Brunei DPMM FC akan bangkit semula setelah kekalahan di tangan Albirex di tempat sendiri minggu lalu dan ia menjadi pemangkin untuk melakukan yang lebih baik dalam perlawanan di tempat sendiri esok.

Pasukan Brunei DPMM FC giat menjalani latihan sebelum melayani Geylang International FC malam ini.
Pasukan Brunei DPMM FC giat menjalani latihan sebelum melayani Geylang International FC malam ini.

“Kita bersikap proaktif untuk mendapatkan corak persembahan yang sama ketika menentang Albirex pada hujung minggu lalu, pemain perlu membuat percubaan dan menghasilkan gol kerana pasti kita akan mendapat kejayaan yang kita hasratkan kerana saya yakin kita tampil lebih yakin berbanding pelawat permainan sebelum ini,” tegasnya lagi.

Mengulas mengenai pasukan Geylang pula, menurutnya Geylang International merupakan pasukan yang sukar ditafsir di samping mempunyai pemain yang berpengalaman dan beliau akui bahawa Geylang telah memulakan liga kali ini dengan baik.

“Sudah pasti kami tidak mahu memberikan ruang kepada pasukan pelawat untuk mencuri tiga mata kali ini sebaliknya kami berhasrat untuk membuatkan kekalahan berpihak kepada mereka dalam perlawanan seterusnya,” ujar Steve Kean lagi.

Musim kali ini bermula berbeza dengan situasi pemain import dan persaingan daripada pasukan lain, namun secara menyeluruh pemain tempatan Brunei DPMM FC kini semakin matang dan mempamerkan permainan yang sangat memuaskan.

“ Di samping lahirnya banyak persaingan dalam kalangan pemain sendiri membuktikan bahawa kelab giat membangun dan berjaya melahirkan pemain yang berdaya saing dan sentiasa berusaha mendapatkan tempat di kesebelasan utama,” tegasnya.

Mengulas mengenai kecederaan pemain pertahanan Sairol Sahari, menurutnya beliau kini terpaksa berehat kerana kecederaan, namun tidak melihat perkara itu secara negatif kerana dalam terjadinya perkara yang tidak dingini itu turut membuka peluang kepada pemain seperti Najib Tarif untuk tampil selaku pilihan menggantikan kekosongan di posisi pertahanan.

“Banyak pemain mula dengan posisi yang berlainan dengan apa yang biasa dimainkan namun terpulang kepada pemain untuk terus menyesuaikan diri dan saya yakin jika mereka berjaya mereka akan mampu membuka peluang dan dimensi yang berbeza dalam perlawanan dan pasukan,” tegasnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA