Sedia hadapi kekalahan

Sedia hadapi kekalahan

YANGON, 29 Julai (AFP) – Parti memerintah Myanmar hari ini mengakui ia berhadapan kekalahan besar dalam pilihan raya umum, kemungkinan besar ditewaskan oleh parti pembangkang Aung San Suu Kyi, ketika ketegangan meningkat antara pemimpinnya dan tentera berkuasa.

Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP), parti separa awam yang lahir daripada parti junta sebelumnya dan kebanyakannya dianggotai bekas askar, menang mudah pilihan raya diragui dalam 2010 apabila ia hampir tidak ditentang, ketika Suu Kyi masih lagi berada dalam tahanan rumah dan partinya memboikot.

Namun rasa pesimis sudah pun bertapak menjelang pilihan raya November. “Kami tidak menjangkakan satu keputusan kemenangan mudah seperti dalam 2010. Ia mustahil,” Setiausaha Agung USDP, Maung Maung Thein memberitahu wartawan di majlis mengumumkan calon kawasan Yangon.

Pengakuan itu dibuat ketika hubungan semakin meruncing antara pemimpin tentera yang masih berkuasa dan pemimpin berpengaruh parti merangkap speaker parlimen, Shwe Mann yang dianggap meluas sebagai calon presiden.

Shwe Mann berhadapan tentangan daripada askar-askar dalam konstituennya dalam masa beberapa hari kebelakangan atas kesediaannya menyokong Suu Kyi dalam usahanya mengubah perlembagaan, yang melarang pemimpin pembangkang itu memegang jawatan tertinggi politik.

Ketua pro-demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi ketika menyerahkan dokumen di pejabat suruhanjaya pilihan raya Thanlyin bagi menyuarakan keputusannya untuk bertanding di konstituen Kawhmu dalam pilihan raya akan datang di Thanlyin. – Reuters
Ketua pro-demokrasi Myanmar Aung San Suu Kyi ketika menyerahkan dokumen di pejabat suruhanjaya pilihan raya Thanlyin bagi menyuarakan keputusannya untuk bertanding di konstituen Kawhmu dalam pilihan raya akan datang di Thanlyin. – Reuters

Namun bekas orang ketiga kuat junta itu menyiarkan tiga komen di laman rasmi Facebooknya, menegaskan dia bertindak ‘atas kepentingan negara’ dan mencadangkan dia bersedia untuk mengingkari kedua-dua tentera dan Presiden Thein Sein.

Mengimbas kembali temu bual baru-baru ini di mana dia ditanya sama ada akan menyokong Suu Kyi menentang presiden dan ketua tentera, dia mengatakan ia lebih tepat mengatakan bahawa dia bersama dengan Suu Kyi dan ‘rakyat.’

Kemarahan askar-askar terhadap Shwe Mann mencetuskan keraguan terhadap kesetiaan politik antara parti memerintah dan tentera yang menguasainya, memuncakkan ketidakpastian ketika negara itu menuju pilihan raya.

ARTIKEL YANG SAMA