Sedia jayakan Hari Keputeraan

Sedia jayakan Hari Keputeraan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 18 Julai – Persiapan bagi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun bagi Daerah Belait sedang rancak dijalankan.

Sehubungan itu, hari ini, raptai penuh bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat yang akan berlangsung pada 23 Julai ini, telah diadakan di Padang Bandaran.

Hadir meninjau lebih dekat lagi persiapan berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70 Tahun, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Dengan tema ‘Raja Tersohor, Negara Makmur, Rakyat Bersyukur’, Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat pada tahun ini akan mengetengahkan persembahan di khemah-khemah yang akan dikunjungi oleh Baginda Sultan dengan memberikan lebih masa kepada rakyat untuk beramah mesra bersama Baginda.

Format yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya ini lebih memberikan peluang kepada rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk melahirkan rasa ketaatan dan kasih kepada raja yang dicintai dan dikasihi.

pg03_160719_a

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa meninjau persiapan dan raptai penuh Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat bagi Daerah Belait di Padang Bandaran.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa meninjau persiapan dan raptai penuh Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat bagi Daerah Belait di Padang Bandaran.

pg03_160719_f

Sebanyak sembilan kategori khemah telah disusun bagi majlis tersebut nanti antaranya ialah Khemah Warga Emas, Khemah Orang-orang Kelainan Upaya, Khemah Mukim-mukim, Khemah Syarikat-syarikat Swasta yang terkenal di Daerah Belait seperti Syarikat Minyak Brunei Shell Sendirian Berhad (BSP), Syarikat Brunei LNG (BLNG), Syarikat Brunei Gas Carrier dan Syarikat Brunei Methanol (BMC).

Turut disediakan, Khemah Masyarakat Antarabangsa, Khemah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Khemah untuk para penuntut Daerah Belait dan diakhiri dengan Khemah Kumpulan peserta Khatam Al-Quran 70 kali Khatam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan.

Suasana persiapan semasa raptai penuh di Daerah Belait.
Suasana persiapan semasa raptai penuh di Daerah Belait.

pg03_160719_d

pg03_160719_e

Lawatan Yang Berhormat Pehin adalah bagi meneliti persediaan-persediaan latihan yang telah diungkayahkan di setiap daerah khususnya Daerah Belait bagi menjunjung keberangkatan Baginda Sultan bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah Belait nanti.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara di Daerah Belait, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam; Timbalan-timbalan setiausaha tetap; Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman, yang juga selaku Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Tertinggi bagi Daerah Belait; para pegawai dari KHEDN dan Jabatan Daerah Belait serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-70 tahun bagi Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA