Sedia jiwa raga sambut Ramadan

Sedia jiwa raga sambut Ramadan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Jun – Umat Islam di negara ini akan menyambut Ramadan penuh rahmat dan keampunan tidak lama lagi, yang merupakan penghulu segala bulan dan sentiasa dirindui umat Islam bagi mengabadikan hidup mereka kepada Allah S.W.T.

Untuk itu, umat Islam perlulah mempersiapkan diri menyambut bulan Ramadan ini dan khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menjelaskan beberapa cara untuk mempersiapkan diri menemui Ramadan.

Menurut khatib, pertamanya umat Islam perlu menyucikan diri daripada segala sifat-sifat keji dan dibenci oleh Islam dan sesuatu yang boleh mengganggu hati sertai melalaikannya daripada mengingati Allah S.W.T.

Umat Islam juga diseru untuk memelihara lidah daripada bercakap-cakap yang kosong, memelihara seluruh anggota tubuh badan yang lain daripada membuat dosa dan daripada segala yang dibenci.

Kedua ialah berjihad melawan hawa nafsu iaitu menanamkan dalam diri keazaman yang tinggi untuk mengajar segala kebaikan pada bulan Ramadan.

“Ketiga, sentiasa berdoa memohon keampunan kepada Allah S.W.T, beriman kepadaNya dan menerima kedatangan Ramadan dengan penuh takwa. Kita mesti yakin bahawa jika kita bertaubat kepada Allah S.W.T dengan taubat yang sebenar-benarnya. Maka Allah S.W.T akan membuka pintu rahmat dan menerima taubatnya.

“Sedarlah bahawa kita adalah manusia yang tidak pernah lari daripada membuat kesilapan dan dosa sama ada dosa besar atau dosa kecil. Oleh itu adalah elok bagi kita membersihkan diri dengan memohon keampunan dan bertakwa. Jika seseorang mahu bertaubat ketika memasuki bulan Ramadan, maka dia akan keluar dari bulan Ramadan dengan berbekalkan taubat dan keampunan,” kata khatib.

Menurut khatib lagi, apabila se-seorang menyambut Ramadan dengan bertaubat dan sembahyang malam, maka pada bulan-bulan yang lain dia juga akan melakukan sedemikian. Dia akan keluar dari bulan Ramadan dengan membawa puasa bersama Allah S.W.T, membawa zikir bersama Allah S.W.T, membawa bacaan Al-Quran bersama Allah S.W.T, membawa kebaikan bersama Allah S.W.T, membawa kerinduan, cinta dan ketaatan kepada Yang Maha Agung lagi Maha Tinggi.

Sebaliknya, apabila seseorang menyambut Ramadan dengan kemaksiatan, maka dia akan melepaskannya dengan kemaksiatan dan apabila dia menyambut dengan kelalaian, maka dia akan melepaskannya dengan kelalaian.

Oleh itu, jelas khatib, dengan menjelangnya bulan Ramadan ini, jangan lepaskan peluang untuk memohon keampunan kerana Allah S.W.T sentiasa menerima taubat hambaNya.

“Sama-samalah kita meningkatkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah S.W.T kerana Ramadan yang akan datang inilah masanya untuk kita melipatgandakan amalan dan mengabdikan diri kepadaNya. Sesungguhnya bulan yang penuh berkat dan rahmat ini merupakan anugerah dari Allah S.W.T bagi insan yang terpilih,” jelas khatib.

 

ARTIKEL YANG SAMA