Sedia laksana visa bagi pelawat Timur Tengah kekang ancaman Daesh

Sedia laksana visa bagi pelawat Timur Tengah kekang ancaman Daesh

KUALA LUMPUR, 10 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia melaksanakan penggunaan visa warga asing untuk rakyat dari negara Timur Tengah seperti yang dicadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), bagi mengekang ancaman kumpulan militan Daesh di Malaysia.

Timbalan menterinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata setakat ini cadangan itu belum lagi dikemukakan oleh MKN kepada kementerian, namun KDN bersedia melaksanakan penggunaan visa tersebut sejurus menerima arahan daripada majlis itu.

“Itu (visa) kuasa MKN. KDN akan melaksanakan arahan MKN. (Setakat ini) KDN belum terima arahan MKN lagi. Bila terima kita akan laksana,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Nur Jazlan juga berkata KDN menyerahkan kepada MKN untuk menentukan negara Timur Tengah yang akan dikenakan visa warga asing berkenaan.

Semalam, Setiausaha MKN Datuk Seri Alias Ahmad mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan visa berkenaan bagi mengekang ancaman kumpulan militan Daesh di Malaysia.

Alias berkata penggunaan visa kepada negara yang terlibat dengan pergolakan atau negara yang dikenal pasti sumber datangnya aktiviti kumpulan militan Daesh penting bagi memantau kemasukan mana-mana individu yang terbabit dalam militan tersebut ke negara ini.

Setakat ini, Malaysia hanya mengenakan penggunaan visa kepada 34 daripada 201 buah negara terutama di benua Afrika. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA