Sedia lebih awal hadapi kecemasan kesihatan – WHO

Sedia lebih awal hadapi kecemasan kesihatan – WHO

GENEVA, 27 Mei – Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Margaret Chan pada Khamis menegaskan akan kepentingan menyediakan pengurusan wabak di peringkat lebih awal sebagai persiapan berdepan situasi kecemasan kesihatan yang semakin meningkat di seluruh dunia, lapor agensi berita China Xinhua.

“Definisi kecemasan bukan hanya merujuk kepada keadaan merbahaya dan mencemaskan kepada penduduk di negara terjejas kerana keadaan itu turut meningkat di peringkat masyarakat antarabangsa,” katanya pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-69 di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva.

“Apabila kita melihat kepada sistem kemanusiaan, sistem itulah diperlukan untuk menangani peningkatan jumlah bencana besar yang diakibatkan oleh gempa bumi, banjir dan konflik,” tambahnya. Antara wabak membawa kesengsaraan yang melanda masyarakat dunia sejak tahun 2000 ialah sindrom pernafasan akut yang teruk (SARS), H1N1, kolera, sindrom pernafasan Timur Tengah (MERS) dan Ebola. – Bernama