Sedia melabur dalam pasaran modal Iran

Sedia melabur dalam pasaran modal Iran

TEHRAN, 16 Jun (Agensi) – Pembiaya terkenal Eropah bersedia untuk melabur dalam pasaran modal Iran sebaik sahaja sekatan dibatalkan, menurut seorang anggota Jawatankuasa Sekuriti dan Tukaran Korporasi Pelaburan Asing.

Reza Soltanzadeh berkata demikian pada akhir satu lawatan perwakilan tertinggi pembiaya Eropah ke Tehran baru-baru ini.

Beliau berkata pelabur Eropah melawat Iran untuk membiasakan diri dengan potensi pasaran modal di Iran dan syarikat perindustrian besar yang disenaraikan di Bursa Saham Tehran, lapor agensi berita Shana.

Sembilan syarikat Eropah dilaporkan telah berjanji akan membuat pelaburan berjumlah 300 juta euro di Iran sebaik sahaja sekatan ke atas Iran dibatalkan.

Ketua Eksekutif firma Eropah menunjukkan kesediaan untuk melabur di Iran selepas mereka melawat Bursa Saham Tehran.

Pelabur berpotensi Eropah melawat Iran atas jemputan Pengurusan Aset Swiss ACL dan Syarikat Pembrokeran Saham Boursiran.

Perwakilan ini terdiri daripada CEO pelabur terkenal dari Britain, Switzerland,Perancis dan Rusia.

Tatkala tarikh akhir 1 Julai menjelang untuk Iran dan enam kuasa dunia mencapai perjanjian nuklear muktamad mengenai program nuklear Tehran, terdapat tanda-tanda positif untuk membatalkan sekatan yang dikenakan ke atas Iran.

Soltanzadeh berkata CEO Eropah berharap mereka boleh melabur di Iran selepas berakhirnya sekatan.

ARTIKEL YANG SAMA