Sedia pengajaran berkualiti, berstrategi

Sedia pengajaran berkualiti, berstrategi

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mei – Seminar dan Bengkel Kebangsaan Numerasi yang berlangsung selama tiga hari, menutup tirainya hari ini dengan majlis penutup seminar dan penyampaian sijil peserta bengkel yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, tingkat bawah Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Gadong.

Seminar anjuran Unit Pendidikan Khas di bawah Kementerian Pendidikan itu telah disertai oleh seramai 40 orang yang terdiri daripada guru-guru daripada Komiti Numerasi, guru-guru SENA dan pegawai dari Unit Pendidikan Khas, yang telah mengikuti dua sesi bengkel.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil ialah Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas (UPK) di UPK, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Ahmad.

Dalam ucapan alu-aluannya, Pengiran Sarimah menyarankan guru-guru untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang bersesuaian dalam bilik darjah masing-masing agar pelajar yang mempunyai cabaran dalam penguasaan numerasi dapat mencapai potensi dalam suasana persekolahan inklusif.

“Pendekatan pembelajaran sedemikian ada ditekan serta diamalkan melalui pelaksanaan SPN21 yang menjurus kepada pengajaran yang berpusat kepada pelajar atau ‘child centred learning’.

Pengiran Sarimah ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.
Pengiran Sarimah ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta.

“Ini juga digariskan melalui Brunei Teachers’ Standard agar semua guru menyediakan pengajaran yang berkualiti tinggi, dan memberi tumpuan khusus terhadap dapatan pembelajaran pelajar atau students’ learning outcomes untuk pembelajaran seterusnya,” jelas beliau lagi.

Bengkel dikendalikan oleh Pegawai Perancang Kurikulum Kanan, Bahagian Perancangan dan Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Singapura, Suriani binti Othman.

Dalam ucapannya, beliau berkata usaha murni UPK dalam menyediakan intervensi awal untuk menyokong pelajar yang berdepan kesukaran dalam matematik melalui Program Numerasi, melambangkan komitmen dan dedikasi yang sangat kuat unit itu untuk membantu pelajar memahami matematik dengan baik.

Walau bagaimanapun, tekan beliau, guru-guru adalah kunci kepada kejayaan program-program campur tangan kerana mereka adalah orang-orang yang secara langsung menyampaikan arahan kepada pelajar di dalam kelas.

“Justeru pembangunan profesional guru-guru menjadi satu bahagian penting dalam usaha ini bagi memastikan guru sangat cekap dan dilengkapi pengetahuan, kemahiran dan sumber bagi membantu para pelajar dengan berkesan.”

Menurut beliau, bengkel Numerasi dua hari tersebut diadakan khas untuk menyediakan guru-guru SENA dengan strategi pengajaran yang pelbagai yang dapat mereka sesuaikan untuk memenuhi keperluan individu pelajar agar dalam menguasai kemahiran numerasi.

Peserta bengkel, Awang Simarak bin Luwis, yang mengongsikan mengenai pandangan dan respons beliau mengenai seminar itu, memberitahu, ia sangat bermanfaat kepada guru-guru SENA sepertinya, di mana beliau akan dapat mengadaptasi strategi-strategi yang diajar yang relevan dan efektif kepada pelajar yang mempunyai kesukaran dalam menguasai numerasi asas.

“Strategi-strategi ini akan dapat membantu para pelajar menguasai kemahiran numerasi dalam cara yang bersistematik dan berurutan,” tambahnya lagi.

Para peserta bengkel berkenaan dijangkakan untuk menjadi guru sumber atau mentor dalam menolong guru-guru lain meningkatkan kemahiran mengajar dalam mengatasi masalah numerasi asas dalam kalangan pelajar.

ARTIKEL YANG SAMA