‘Sedia peta minda sendiri’

‘Sedia peta minda sendiri’

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 25 Ogos – Dengan peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah dan ‘O’ Level semakin dekat, terdapat tiga cara untuk pelajar mempersiapkan diri dalam masa terhad ini, iaitu persediaan sebelum, semasa dan selepas peperiksaan.

Pegawai Pelajaran/Pegawai Diperbantukan di Kluster 6 Jabatan Sekolah-Sekolah Daerah Belait, Awang Mohd Hatta bin Haji Suhaili seterusnya menjelaskan, cara pertama iaitu persediaan sebelum peperiksaan pelajar perlu sentiasa mengulang kaji setiap mata pelajaran yang akan dihadapi nanti dan menulis nota-nota kecil dalam ‘bullet point’ agar senang untuk dirujuk kemudian.

Beliau semasa ditemui semasa raptai Majlis Khatam Al-Quran 69 kali bagi Daerah Belait, sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 di Masjid Jamalul Alam, di sini, hari ini, menyarankan agar para pelajar menyediakan peta minda sendiri, iaitu menggunakan gambar rajah untuk menyusun maklumat visual.

Jelasnya, peta minda sering dicipta di sekitar satu konsep tunggal, dan disediakan sebagai imej di tengah-tengah halaman kosong, yang mana perwakilan yang berkaitan dengan idea-idea seperti imej, perkataan dan bahagian kata-kata ditambah untuk memudahkan pengguna mengingati kandungan konsep yang disebutkan.

“Peta Minda ini amat berguna dalam mata pelajaran seperti Inggeris atau sains dan yang lain-lain lagi,” tambah beliau.

Awang Mohd Hatta ketika menyampaikan taklimat kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
Awang Mohd Hatta ketika menyampaikan taklimat kepada para pelajar yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

Bagi cara penyediaan semasa peperiksaan, Awang Mohd Hatta menasihati para pelajar supaya mendapatkan tidur yang secukupnya, dengan tidur pukul 10 malam supaya mendapat enam ke lapan jam tidur yang disyorkan.

“Pelajar-pelajar juga harus menjaga kesihatan fizikal dan mental mereka kerana ini adalah bahagian yang amat penting untuk dijaga terutamanya ketika hendak menjawab soalan-soalan.

“Makanlah makanan-makanan yang berkhasiat termasuk biji-bijian supaya dapat melancarkan proses pemikiran dan jangan lupa juga untuk minum susu,” nasihat beliau.

Awang Md Hatta juga menasihati para pelajar supaya bersembahyang dan berdoa kepada Allah SWT, meminta hidayah dariNya bagi menghadapi segala peperiksaan yang dihadapi untuk mendapat ilham dan keyakinan diri apabila menjawab segala soalan-soalan yang diberikan.

Akhir sekali, persediaan selepas peperiksaan, yang mana beliau menasihati pelajar-pelajar untuk bersembahyang dan berdoa kepada Allah SWT, untuk bertawakal kepadaNya agar segala usaha yang dilakukan semasa peperiksaan besar tersebut membuahkan hasil yang baik.