Sedia sahut cabaran ASEAN

Sedia sahut cabaran ASEAN

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Pasukan-pasukan bola keranjang veteran Negara Brunei Darussalam akan menguji kebolehan mereka menentang pasukan-pasukan veteran yang bakal beraksi di Kejohanan Bola Keranjang Veteran ASEAN ke-25 yang akan berlangsung pada 21 hingga 27 Ogos nanti di Manila, Filipina.

Negara Brunei Darussalam akan menghantar tiga buah pasukan pemain veteran untuk menyertai kejohanan itu di mana Brunei akan menyertai kategori 40 tahun ke atas, 50 tahun ke atas dan 60 tahun ke atas.

Pasukan veteran negara 50 tahun ke atas diberikan suntikan semangat sebelum menyertai kejohanan itu apabila pasukan berkenaan menerima tajaan jersi yang disampaikan oleh pengarah urusan sebuah syarikat tempatan, Dato Gilbert Tiong kepada Kapten Pasukan, Khoo Eng Cheong dalam majlis yang berlangsung di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam, Batu Bersurat, Gadong, kelmarin.

Pasukan Veteran Brunei Darussalam bergambar ramai dengan Dato Gilbert Tiong yang menyerahkan tajaan jersi kepada Kapten Pasukan, Khoo Eng Cheong sebelum perlawanan persahabatan bermula di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam.
Pasukan Veteran Brunei Darussalam bergambar ramai dengan Dato Gilbert Tiong yang menyerahkan tajaan jersi kepada Kapten Pasukan, Khoo Eng Cheong sebelum perlawanan persahabatan bermula di Gelanggang Bola Keranjang Persatuan Bola Keranjang Brunei Darussalam.

Sementara itu, sebagai persediaan untuk menyertai kejohanan itu, pasukan veteran negara 50 tahun ke atas telah mengadakan perlawanan bola keranjang persahabatan dengan Pasukan Media dan Rakan-rakan (M&F) di mana perlawanan persahabatan itu selain daripada sebagai persediaan akhir bagi pasukan veteran kebangsaan itu, ia juga dihasratkan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara para pemain.

Dalam kejohanan itu, pasukan-pasukan veteran negara akan menentang pasukan-pasukan veteran dari Filipina, Malaysia, Indonesia dan Thailand di mana pasukan veteran negara bertekad untuk memberikan saingan yang terbaik semasa kejohanan itu dan berharap untuk memperbaiki lagi kedudukan serta mara ke pusingan seterusnya di kejohanan itu nanti.

Mereka menyasarkan untuk sekurang-kurangnya menduduki tempat ketiga dalam kejohanan di mana pasukan-pasukan lain yang beraksi merupakan pasukan yang dibarisi oleh pemain-pemain yang berpengalaman.

ARTIKEL YANG SAMA