Sedia tampung permintaan penduduk Belait

Sedia tampung permintaan penduduk Belait

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 3 Feb – Penduduk di sekitar Daerah Belait kini boleh mendapatkan perkhidmatan umrah dan haji melalui operator umrah berlesen, Syarikat Raudah Al-Amin Sdn Bhd setelah diberi kebenaran oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, baru-baru ini, untuk membawa para jemaah menunaikan umrah dan haji.

Syarikat yang berpangkalan di Jalan Bunga Rambai, Pekan Kuala Belait berhadapan dengan Sekolah Menengah Chung Hwa ini merupakan syarikat pertama di daerah ini yang menawarkan perkhidmatan tersebut.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Pengarah syarikat, Haji Abdul Rahman bin Mat (gambar) berkata dengan ketersediaan perkhidmatan ini di sini, ia diharap akan dapat memudahkan serta menyenangkan lagi masyarakat yang tinggal di Daerah Belait yang berhasrat untuk menunaikan umrah dan haji.

“Selalunya para penduduk Belait akan pergi ke Bandar untuk menguruskan segala yang diperlukan bagi melakukan umrah dan haji mereka dan rutin sebegini boleh meletihkan mereka, justeru itu perkhidmatan kami bersedia untuk membuat segala urusan tersebut dan menyediakan segala keperluan seperti menguruskan perjalanan, makanan serta tempat tinggal bagi kesenangan mereka, begitu jua menyediakan penghantaran beg-beg ke lapangan terbang secara percuma.”

pg12_160204_b

Haji Abdul Rahman menambah bahawa mereka berada di posisi yang strategik bagi penyediaan urusan tiket untuk para jemaah kerana ia berdekatan dengan Miri yang mempunyai lapangan terbangnya sendiri.

“Sememangnya syarikat ini memberi tumpuan kepada penerbangan Royal Brunei (RB) untuk menerbangkan para jemaah ke Jeddah namun jika sekiranya tiada tempat duduk yang didapati di RBA kami akan menggunakan MAS Airlines di Lapangan Terbang Miri untuk menerbangkan para jemaah melalui penerbangan sambungan,” jelasnya mengenai kelebihan tempat operasi syarikat itu di daerah ini.

Ditanya mengenai keramaian jemaah yang menunaikan umrah untuk bulan Februari ini, beliau berkata seramai 20 orang dari Daerah Belait dan Brunei-Muara sudah menempah tiket untuk ke Jeddah dan akan terbang pada 13 Februari ini, menjadi ‘Anak Bungas’ pertama yang akan menggunakan perkhidmatan ini dengan menaiki penerbangan RB nanti.

Tambahnya lagi, seramai 10 hingga 15 orang dari Daerah Tutong, kebanyakannya juga sudah menempah untuk menunaikan umrah pada bulan Mac ini.

Beliau turut mengongsikan kepada Media Permata bahawa peningkatan jumlah mereka yang ingin menunaikan umrah dan haji semakin meningkat dari tahun ke tahun.

“Sebelum ini, terutamanya bagi Daerah Belait, pada tahun-tahun sebelumnya melihat dari pada 15 ke 20 peratus keramaian orang namun baru-baru ini permintaan melonjak naik hingga ke 50 ke 60 peratus keramaian orang yang berhasrat untuk menunaikan fardu haji dan umrah,” ujarnya.

Beliau membuat kesimpulan itu daripada kajian yang dibuat oleh syarikat tersebut di mana kebanyakan mereka yang dalam lingkungan usia 45 tahun ke atas termasuk mereka yang sudah pencen meruoakan golongan yang ramai berhasrat menunaikan umrah dan haji.

“Di antara isi kandungan pakej umrah bagi 13 hari ini adalah termasuk tiket penerbangan ‘ALL IN’, pengangkutan bas berhawa dingin, perlindungan insurans takaful, pegawai pengiring atau Mutawif, hotel empat ke lima bintang yang jaraknya berdekatan dengan masjid atau sebanding dengannya, cenderamata air zam-zam serta ziarah untuk melawati Madinah-Makkah.”

Selain daripada perkhidmatan berkenaan, Haji Abdul Rahman juga memberitahu Media Permata bahawa syarikat tersebut berhasrat untuk menggaji anak-anak tempatan sebagai pegawai pengiring atau Mutawif yang akan mengiringi para jemaah sepanjang umrah tersebut.

Rancangan ini, ujarnya, akan memakan masa dalam tiga ke enam bulan.

“Pada masa ini, mutawif-mutawif yang sedia ada adalah orang-orang luar yang berpangkalan di Jeddah akan tetapi, Insya-Allah mereka akan digantikan dengan anak-anak tempatan yang akan ditugaskan di sana tiga bulan sekali berganti-berganti,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pencapaian akademik bagi mereka adalah penting iaitu pemohon mestilah mempunyai kelulusan Tahfiz Al-Quran yang akan menjadi kelebihan, ataupun yang berkaitan sebanding dengannya. Mereka ini akan dilatih untuk diberi keyakinan dalam membawa para jemaah nanti.

ARTIKEL YANG SAMA