Sedia tempuhi pelbagai cabaran

Sedia tempuhi pelbagai cabaran

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Dalam mencapai kejayaan, ia memerlukan komitmen yang tinggi daripada seseorang itu termasuk pelajar dalam menempuh pelbagai cabaran supaya tidak mudah putus asa jika mereka menghadapi kegagalan dalam percubaan mereka.

Perkara itu antara yang disentuh semasa Ceramah Motivasi yang dihadiri oleh kira-kira 400 orang pelajar di Dewan Serba guna, Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Sultan Saiful Rijal, hari ini.

Ceramah motivasi bertajuk ‘Menuju Layar Kecemerlangan’ itu disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, Unit Kaunseling dan Kerjaya, Hajah Masnah binti Haji Daud di mana beliau memberikan penerangan mengenai pentingnya komitmen dan keberanian dalam diri pelajar untuk menghadapi pelajaran supaya dapat mencapai kecemerlangan dalam bukan sahaja pelajaran tetapi juga kehidupan.

Terdahulu daripada itu, Kaunselor Kampus IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Dayang Siti Hannani binti Abdul Halim menyampaikan taklimat ringkas mengenai peranan Unit Kaunseling, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal serta memberikan penerangan mengenai visi, misi dan juga jenis masalah yang ditangani oleh unit berkenaan.

Beliau turut memberikan kata-kata nasihat kepada para pelajar di mana beliau menyatakan bahawa mereka mempunyai daya kreativiti tersendiri untuk mencapai kejayaan tetapi mereka harus mempunyai kepercayaan untuk menukarkan idea itu menjadi satu reality.

Hajah Masnah semasa menyampaikan ceramahnya di majlis itu.
Hajah Masnah semasa menyampaikan ceramahnya di majlis itu.
Di antara pelajar-pelajar yang menghadiri sesi ceramah itu.
Di antara pelajar-pelajar yang menghadiri sesi ceramah itu.

Di akhir ceramah motivasi berkenaan, cenderahati bagi penceramah undangan, Hajah Masnah telah disampaikan oleh Pengurus Akademik, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Hajah Rohani binti Haji Salleh.

Dayang Siti Hannani menjelaskan bahawa ceramah motivasi anjuran Unit Kaunseling IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal tersebut merupakan sebahagian daripada Program Orientasi bagi Pengambilan Julai 2016 yang bermatlamat untuk meningkatkan motivasi pelajar.

Menurutnya lagi, selain daripada perisian ceramah yang menarik, ia juga diharap dapat memberikan motivasi kepada para pelajar untuk terus tekun dalam pelajaran mereka serta untuk membantu mereka supaya lebih memberikan tumpuan kepada pendidikan mereka dan menjadikan pendidikan itu satu keutamaan.

Ceramah itu juga, ulasnya lagi, diharap membuka minda para pelajar serta membantu mereka membuat pilihan yang tepat dalam kehidupan mereka.

Di samping itu, Unit Kaunseling, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal merancang untuk terus mengadakan siri ceramah motivasi dan antara tajuk ceramah yang akan diketengahkan adalah masalah yang dihadapi oleh pelajar dan cara untuk menanganinya serta apa yang akan mereka hadapi dalam alam pekerjaan sebenar.

ARTIKEL YANG SAMA