Sedia terima tentangan Garena Young Lions

Sedia terima tentangan Garena Young Lions

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Semangat juang pasukan DPMM FC perlu diberikan pujian meskipun tidak mempunyai masa rehat secukupnya lebih-lebih lagi apabila mencipta rekod kemenangan pada beberapa perlawanan sebelum ini.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC, Steve Kean ketika ditemui di Mini Stadium Jerudong sebelum perlawanan menentang Garena Young Lions esok di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Mengulas mengenai keadaan pemain import Paolo Sergio, menurutnya beliau kini direhatkan ekoran kecederaan tulang belakang dan akan dirawat dalam beberapa hari ini namun menurut pegawai perubatan beliau akan cergas bagi perlawanan menentang Tampines Rovers sedikit masa lagi.

“Beliau dijangka akan cergas dalam masa sehari dua ini namun ada baiknya beliau direhatkan bagi memastikan kecergasan sepenuhnya bagi perlawanan yang penting di Stadium Jurong West pada 1 Oktober nanti,” tegasnya

Beliau optimistik untuk menurunkan beberapa pemain gantian lain terutama pemain tempatan seperti Shahrazen Said dan Maududi Kasmi yang akan juga menggantikan Azwan Ali Rahman yang direhatkan dalam perlawanan esok.

“Kedua-dua pemain ini mempamerkan permainan yang memberangsangkan kebelakangan ini dan pada saya mereka akan mempamerkan kualiti permainan yang sama besok” sebelum menegaskan seorang lagi pemain yang terpaksa direhatkan esok iaitu Najib Tarif.

Dalam pada itu, beliau berharap pasukan akan terus menunjukkan permainan yang baik meskipun dengan hanya satu jaringan sahaja dan mengingatkan supaya pemain akan fokus kepada perlawanan esok di tempat sendiri.

“Young Lions merupakan sebuah pasukan muda yang sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri apatah lagi dengan corak permainan yang bebas seperti yang disyorkan oleh jurulatih mereka menjadikan mereka pasukan yang sukar dijangka,” tegas Kean.

Menurutnya pemain perlu peka dengan pergerakan pihak lawan sepanjang 90 minit perlawanan esok dan katanya lagi semua pemain muda ini sukar dijangka apatah lagi dengan semangat usia muda yang ada pada mereka.

Menjawab mengenai kedudukan Adi Said pula katanya setakat ini dia perlu berehat bagi memastikan buku lalinya pulih sepenuhnya sebelum beraksi semula setelah sembuh nanti.

ARTIKEL YANG SAMA