Sediakan kemu...

Sediakan kemudahan mesin fotokopi

DIUCAPKAN tahniah dan terima kasih kepada Jabatan Buruh kerana telah memberikan kebenaran kepada sebuah syarikat insurans untuk beroperasi di tingkat bawah, Bangunan Jabatan Buruh.

Perkara tersebut bukan sahaja akan memberikan kemudahan kepada pihak yang ingin membuat urusan dengan jabatan berkenaan terutama sekali yang berkaitan dengan pekerja asing, tetapi juga akan dapat mendatangkan hasil dan pendapatan kepada pihak kerajaan.

Melalui sewaan petak tersebut, saya menganggarkan ia berharga sekitar $700 sebulan dan pendapatan dalam setahun mencecah lebih $8000 akan diterima oleh pihak kerajaan. Syabas atas usaha tersebut.

Dalam pada itu, Jabatan Buruh juga seharusnya memikirkan dan memberikan kebenaran kepada pihak berkenaan untuk membuka kedai alat tulis, di mana apa yang penting adalah keperluan mesin fotokopi, di samping keperluan lain seperti setem, borang perjanjian, pen dan alat keperluan lainnya.

Bagaimanapun, apa yang paling penting dan perlu dimiliki ialah mesin fotokopi, memandangkan kebanyakan urusan dengan Jabatan Buruh memerlukan dokumen asal dan juga salinannya.

Tambahan pula, dengan adanya semua itu, ia juga secara tidak langsung akan mendatangkan hasil pendapatan yang lumayan kepada pihak kerajaan dengan penyewaan petak kepada pihak berkenaan.

Anggaran sewa bagi petak tersebut sekitar $600 sebulan, jika dalam setahun ia akan mencecah lebih $7,000 dan ini akan memberikan keuntungan kepada pihak kerajaan di samping memberi kesenangan kepada orang ramai untuk berurusan dengan Jabatan Buruh. – Oleh Awang Marol, Jalan Kebangsaan

ARTIKEL YANG SAMA