Sedih prestasi skuad bola sepak belia kita

Sedih prestasi skuad bola sepak belia kita

Selaku bekas pemain bola sepak belia yang pernah mewakili negara di peringkat bawah 16 tahun, 18 tahun dan 23 tahun bagi Negara Brunei Darussalam, saya berasa sedih dan kecewa apabila pasukan bawah 19 tahun AFC 2015 kita, tewas kali ketiga kepada Vietnam (dengan jaringan 5-0) dan dengan Timor Leste, sebuah pasukan pendatang baru dalam arena bola sepak ASEAN (dengan jaringan 4 – 0).

Pasukan kita berakhir di kedudukan tercorot di belakang Vietnam, Myanmar, Timor Leste dan Hong Kong setelah kalah semua perlawanan. Dengan berakhirnya U19 AFC 2015, maka sejak tahun lepas termasuk pasukan bola sepak belia kebangsaan Sukan SEA 2015 di Singapura, adalah menyedihkan bahawa pasukan belia Negara Brunei Darussalam semuanya mengalami kekalahan demi kekalahan.

Begitu juga keadaannya dengan Pasukan Tabuan Muda bawah 19 tahun dalam Liga Super DST, seperti ‘tidak berdaya’ dan telah beberapa kali tewas antaranya kepada Pasukan ABDB.

Oleh itu, saya kira sudah tiba masanya pihak-pihak yang berkepentingan dalam bola sepak negara seperti Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan stake-holders yang lain, kembali duduk semeja mencari cara untuk memperbaiki dan meningkatkan semula tahap dan prestasi pasukan-pasukan belia kebangsaan.

Ini supaya sekurang-kurangnya pasukan belia kita memperoleh kemenangan dalam perlawanan-perlawanan yang diikuti anjuran Persekutuan Bola Sepak ASIA (AFF) atau Majlis Bola Sepak Asia (AFC).

Jika perlu, berikan peluang kepada orang-orang muda yang mempunyai inisiatif dan tenaga untuk menguruskan pasukan kita.

– Bekas pemain belia kebangsaan, Jalan Jerudong

ARTIKEL YANG SAMA