Sedikit perubahan cuaca dijangka berlaku

Sedikit perubahan cuaca dijangka berlaku

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada di kemuncak musim Barat Daya (bulan Ogos dan September) yang pada kebiasaannya akan mengalami keadaan cuaca yang sedikit berjerebu terutama berpunca daripada asap jerebu rentas sempadan.

Hujan berserta angin ribut juga dijangka berlaku sekali-sekala disebabkan kesan tidak langsung tail-end jika berlakunya taufan atau ribut tropika di kawasan Laut China Selatan dan Lautan Barat Pasifik.

Jabatan Kaji cuaca Negara Brunei Darussalam, Kementerian Perhubungan dalam satu kenyataan berkata, menjelang bulan Oktober hingga bulan November, Negara Brunei Darussalam dijangka berada dalam musim peralihan, di mana keadaan cuaca negara selalunya dipengaruhi oleh kesan angin tempatan yang memainkan peranan penting dalam menghasilkan aktiviti ribut petir.

“Lazimnya ribut petir akan membentuk di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak ke kawasan pesisiran pantai dan laut pada waktu malam.

“Berdasarkan keadaan cuaca serantau yang berlaku pada masa ini dan jangkaan iklim bermusim terkini yang dikeluarkan oleh pusat-pusat iklim utama dunia, keadaan sesuai untuk pembentukan fenomena La Nina diramalkan berlaku di kawasan Lautan Pasifik pada sekitar bulan Ogos hingga Oktober 2016, dengan kira-kira 55-60 peratus kemungkinan fenomena La Nina berlaku sekitar penghujung tahun 2016 dan awal tahun 2017,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut Jabatan Kaji cuaca, seperti kejadian-kejadian yang lepas, kesan fenomena La Nina yang berintensiti kuat kepada Negara Brunei Darussalam adalah peningkatan turunan hujan yang ketara dan menyebabkan kejadian banjir kilat semasa berlakunya hujan lebat berpanjangan.

Memandangkan kemungkinan berlakunya fenomena ini masih di tahap yang rendah, kesannya terhadap corak cuaca di rantau kita pada beberapa bulan mendatang, juga masih rendah. Bagaimanapun jumlah turunan hujan pada hujung tahun (November dan Disember 2016) diramalkan sedikit tinggi daripada jumlah purata.

Pihak Jabatan Kaji cuaca akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu. Sehubungan itu orang ramai dinasihatkan supaya mengikuti maklumat keadaan cuaca terkini dengan melayari Iaman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti Iaman Facebook (bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX. Mereka juga boleh menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pejabat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114.

ARTIKEL YANG SAMA