Seeds anjur pementasan ‘Jong Sarat’

Seeds anjur pementasan ‘Jong Sarat’

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Nov – Sebuah pertubuhan drama tempatan Seeds akan menganjurkan pementasan asal kedua mereka bertajuk ‘Jong Sarat’ yang merupakan salah satu aktiviti hujung tahun mereka di Dewan Sekolah Menengah Rimba I, pada 30 November dan 1 Disember jam 7 malam.

Kumpulan Seeds Brunei yang terdiri daripada penggemar seni, guru-guru dan sukarelawan dengan sokongan Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan itu mempunyai hasrat untuk mempromosi kesenian kepada para pelajar di sekolah menengah dan pendidikan tinggi.

Pada pementasan itu nanti akan menyaksikan semua pelajar yang terlibat mempersembahkan lakonan skrin layar asal ciptaan Awang Mohammad Syafiq bin Haji Abu Bakar yang juga akan memainkan gubahan lagu beliau sendiri dengan sokongan daripada penerbit muzik tempatan ProjecTunes Records, Adi Rani dan artis rakaman tempatan, Hill Zaini.

Bagi pementasan hujung tahun ini, ‘Jong Sarat’ berkisar mengenai masa lalu dengan berlatarbelakangkan Brunei tahun 1980-an dengan mengisahkan mengenai kehidupan empat sekawan yang meniti ambang kedewasaan.

Masing-masing bergelut antara tanggungjawab dan kehendak – pragmatik Razak yang ingin membantu keluarganya, impian Nur yang berkecai antara harapan ayahnya dan kemahuannya sendiri, kekecewaan Asmali yang sering berasa dirinya hanya yang kedua terbaik dan kesetiaan Salmah, yang ingin mengekalkan persahabatan mereka dalam masa yang sama mengembangkan perniagaan Jong Sarat ibu bapanya.

Sejak tujuh tahun yang lalu Seeds telah menghasilkan pelbagai versi muzikal terkenal mereka sendiri seperti Oliver! Into The Woods, Willy Wonka, dan Wicked and The Lion King.

Tahun lepas sahaja mereka telah menghasilkan pementasan asal mereka sendiri, ‘Amas’ yang dihadiri lebih 700 penonton selama dua malam.

Bagi mereka yang berminat, tiket-tiket berharga $15 boleh diperolehi dengan menghubungi talian +6738678673 menerusi WhatsApp atau telegram.me/seedsjongsarat atau boleh mendapatkannya di Sekolah Menengah Rimba yang dijual pada waktu tertentu.

Bagi maklumat lanjut, boleh hubungi Seeds di laman media social Facebook https://www.facebook.com/seedsbrunei atau Twitter @seedsbrunei.

ARTIKEL YANG SAMA