SEES IBTE laksana projek pertama Kementerian Kesihatan

SEES IBTE laksana projek pertama Kementerian Kesihatan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 23 Nov – Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan Satelit (SEES), Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah melaksanakan projek pertama daripada Kementerian Kesihatan iaitu penyediaan perkhidmatan pemasangan unit penghawa dingin bagi banglo Kementerian Kesihatan di Kampung Kiarong, di sini.

Seramai 12 orang pelajar SEES IBTE telah terlibat dalam projek tersebut bersama dua orang tenaga pengajar bagi melakukan kerja-kerja pemasangan 12 unit penghawa dingin yang telah bermula pada 10 November yang lalu dan dijangka selesai esok.

IBTE melalui pelajar-pelajar Penyejukan dan Penyaman Udara serta Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan kini menyediakan perkhidmatan pemasangan, pemeriksaan dan pembaikan penghawa dingin unit terpisah kepada jabatan-jabatan kerajaan yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

Inisiatif menerima projek pertama itu adalah selaras dengan misi IBTE untuk melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang memenuhi jangkaan pihak berkepentingan melalui persekitaran pembelajaran holistik.

Antara yang terlibat dalam projek tersebut.
Antara yang terlibat dalam projek tersebut.
Kerja-kerja pemasangan yang sedang dilakukan oleh pelajar SEES IBTE.
Kerja-kerja pemasangan yang sedang dilakukan oleh pelajar SEES IBTE.

Selain itu, projek berkenaan turut memberikan peluang kepada pelajar-pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran mereka serta membuka minda pelajar untuk menceburi bidang keusahawanan, di samping dapat memperolehi pengalaman dalam mengendalikan kerja-kerja tersebut.

Antara tugas yang dilakukan sepanjang projek tersebut adalah mengeluarkan dan memasang unit penyaman udara unit terpisah, lengkap dengan PVC paip saliran, PVC saluran pendawaian, kabel kawalan PVC, menguji dan memeriksa pemasangan siap unit penghawa dingin dan membetulkan mana-mana yang perlu bagi memastikan keberkesanan sistem penghawa dingin.

ARTIKEL YANG SAMA