Segar dengan aroma semula jadi

RUMAH yang bersih, segar dan diserikan dengan haruman seperti aromaterapi secara tidak langsung menambahkan keselesaan buat penghuni dan tetamu.

Sekurang-kurangnya bau-bauan dari bahagian dapur atau bilik air dapat dihindari dengan haruman segar yang anda pilih.

Malah kita juga maklum bahawa persekitaran segar juga mampu memberikan kesan positif kepada mood seseorang.

Bau yang harum turut dikatakan boleh menghidupkan suasana ceria di samping memberikan ketenangan sepanjang masa.

Bagaimanapun, anda boleh manfaatkan tanaman di sekeliling kediaman tanpa perlu mengeluarkan belanja besar.

Hirisan daun pandan mampu memberi aroma harum semerbak di pelbagai sudut ruangan rumah.

Letakkan hirisan buah dan kulit oren, kulit kayu manis, bunga cengkih dan bunga lawang dalam periuk berisi air secukupnya.

Didihkan di atas api yang sederhana dan dalam beberapa minit, ruang dapur terutamanya dipenuhi aroma hangat, bersih dan menyegarkan.

Anda juga boleh menggunakan daun pandan. Selain dimasukkan dalam masakan untuk aroma wangi, pandan juga boleh dijadikan wangian semula jadi di dalam rumah.

Hirisan daun pandan mampu memberi aroma harum semerbak di bilik tidur, bilik air, almari pakaian dan laci untuk tempoh kira-kira dua minggu.

Selain itu, kelopak bunga mawar yang diracik halus dan dicampur bersama daun pandan menjadi bunga rampai.

Masukkan campuran bahan ini dalam bekas khas untuk dijadikan potpuri semula jadi.

Di samping itu, serai wangi selain menghalau nyamuk dan serangga juga mampu menghasilkan aroma segar.

Luangkan masa untuk menyediakan lidi bulu, balang dan minyak pati pilihan anda.

Isikan balang dengan minyak pati pilihan dan selebihnya dengan minyak anak damit.

Ia akan menyerap ke dalam lidi buluh dan meninggalkan bilik anda bau yang cukup nyaman.

Aromaterapi

Begitu juga dengan haruman aromaterapi yang tidak dinafikan memberikan tindak balas positif kepada penghuninya.

Di ruang mana sekali pun, ia secara tidak langsung membuai emosi untuk lebih tenang dan selesa sepanjang masa.

Persekitaran yang kemas dengan gaya penataan eksklusif di ruang tamu umpamanya lebih bermakna jika diserikan dengan haruman aromaterapi.

Kini terdapat juga lilin dengan haruman aromaterapi yang secara tidak langsung mencipta keindahan tersendiri di segenap ruang.

Begitu juga dengan aneka minyak pati aromaterapi yang ditawarkan di pasaran.

Situasi itu membawa gambaran, tiada alasan untuk anda mengabaikan penataan ruang dengan penyerinya haruman aromaterapi.

Pati minyak bunga mawar dikatakan membantu menghilangkan tekanan, lavender membantu membangkitkan semangat dan kekuatan sementara lemon pula memberikan ketenangan dan menyegarkan suasana.