Segera bawa pulang mayat tebusan – Najib

Segera bawa pulang mayat tebusan – Najib

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) mahu pegawai Malaysia bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina untuk membawa pulang mayat warga Malaysia berasal dari Sarawak, Bernard Then Ted Fen dengan secepat mungkin.

“Saya berasa amat sedih apabila mendapat tahu ujian DNA dilakukan oleh pihak berkuasa Filipina mengesahkan mayat dijumpai di Jolo adalah mayat mendiang Bernard Then.

“Saya mahu pegawai Malaysia berhubung dengan pihak berkuasa di Filipina dan membawa pulang ke tanah air mayat mangsa dengan secepat mungkin untuk membantu mengakhiri penantian keluarganya,” katanya dalam akaun Facebook dan Twitter beliau.

Najib turut mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Then.

Pihak berkuasa Filipina telah mengesahkan kepala yang ditemukan di selatan Pulau Jolo adalah milik tebusan Malaysia itu yang dipenggal, berdasarkan ujian DNA.

pg11_151221_a

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata polis telah dimaklumkan secara lisan berhubung perkara itu dan sedang menunggu laporan bertulis daripada pihak Filipina.

Pada 15 Dis, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pasukan keselamatan Filipina telah menemukan mayat tanpa kepala, dipercayai ialah Then.

Beliau telah diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah restoran makanan laut di Sandakan, Sabah pada 14 Mei, bersama-sama pengurus restoran itu, Thein Nyuk Fun, 50, yang dibebaskan pada 8 Nov.

Bagaimanapun, Then, 39, telah dibunuh dengan kepalanya dipenggal di sebuah lokasi terpencil di pulau Jolo pada 11 Nov.