Segera kemas kini maklumat pemilikan tanah

Segera kemas kini maklumat pemilikan tanah

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Jabatan Tanah, Negara Brunei Darussalam mendapati, sejak projek peralihan Sistem Pendaftaran Tanah secara manual kepada Sistem Pendaftaran Tanah berkomputer pada tahun 1985, sebahagian daripada pemilik tanah berdaftar yang tidak diketahui bilangan kod pengenalannya telah didaftar menggunakan Kod Pengenalan Sementara iaitu Kod D bagi pemilik tanah yang meninggal semasa pendaftaran; dan Kod Z bagi pemilik tanah yang masih hidup semasa pendaftaran.

Menurut kenyataan Jabatan Tanah, penggunaan kod pengenalan sementara itu adalah bagi melicinkan perlaksanaan projek berkenaan dan masih digunakan hingga sekarang.

Kenyataan itu berkata, maklumat pendaftaran pemilikan tanah tidak dapat dikemas kini dan tidak ada pengemaskinian dibuat disebabkan tidak ada sebarang transaksi dan urus niaga tanah dibuat ke atas lot-lot yang dimiliki.

Jabatan Tanah juga menghadapi kesulitan dalam mengesan pemilik-pemilik tanah sebenar dalam usaha mengemas kini maklumat-maklumat dalam Sistem Pendaftaran Tanah.

Sehubungan itu, para pemilik tanah atau ahli-ahli waris yang berhak diminta hadir di mana-mana cawangan Pejabat Tanah daerah masing-masing untuk mendapatkan borang ‘Mengemaskini Maklumat Pemilikan Tanah’ dan mengembalikan semula borang yang telah lengkap diisikan dan menyertakan dokumen yang berkaitan dalam tempoh dua minggu dari tarikh pengambilan borang.

Menurut Jabatan Tanah, maklumat tersebut diperlukan bagi membolehkan pihak jabatan mengemas kini data pemilik dan pemilikan tanah masing-masing ke dalam Sistem Pendaftaran Tanah.

Borang-borang boleh dimuat turun di laman sesawang Jabatan Tanah di www.tanah.gov.bn atau didapatkan di kaunter-kaunter Pejabat-pejabat Tanah seluruh negeri dan borang-borang yang lengkap diisikan hendaklah dikembalikan dimana-mana cawangan Jabatan Tanah. Waktu pengambilan borang dan penerimaan permohonan adalah dari jam 8 hingga 11:30 pagi dan 2 hingga 4 petang pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu.

Sementara itu, pemilik-pemilik tanah atau ahli-ahli waris diminta hadir ke Pejabat-pejabat Tanah Daerah dalam tempoh tiga bulan mulai 2 Mei hingga 31 Julai 2016. Jika gagal berbuat demikian, pihak jabatan boleh mengambil tindakan untuk membatalkan tanah-tanah berkenaan di bawah Bab 18 Kanun Tanah Penggal 40.

ARTIKEL YANG SAMA