Segera lapor peniaga tidak bertanggungjawab

Segera lapor peniaga tidak bertanggungjawab

TAWAU, 11 Sept (Bernama) – Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Severinus Tukah meminta agar semua pihak khususnya pengguna segera melaporkan peniaga yang menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya di kawasan masing-masing.

Beliau berkata orang ramai seharusnya mengetahui tentang kuasa sebagai pengguna agar tidak mudah diperdaya dengan peniaga yang tidak bertanggungjawab.

“Oleh itu kita berharap orang ramai segera membuat laporan kepada KPDNKK agar pihak kami dapat membuat tindakan yang sewajarnya kepada peniaga yang menaikkan harga barang sehingga membebankan pembeli,” katanya kepada pemberita selepas Kempen Kesedaran Keselamatan anjuran KPDNKK di sebuah stesen minyak di sini, hari ini.

Beliau berkata pengguna yang membuat laporan juga perlu menyertakan maklumat seperti nama dan nombor telefon yang boleh dihubungi bagi memudahkan pihak KPDNKK membuat tindakan selanjutnya.

Banyak laporan yang kami terima namun ia tidak lengkap dan hal itu menyukarkan pihak KPDNKK untuk membuat siasatan dan tindakan yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, ketika merasmikan kempen itu Presiden Majlis Perbandaran Tawau Datuk Ismail Mayakob berkata aspek keselamatan di stesen minyak sangat penting dan tidak boleh dipandang ringan oleh pengusaha dan pengguna.

“Pengusaha stesen minyak dan pengguna perlu mengutamakan keselamatan kerana stesen minyak mempunyai risiko yang tinggi, yang mana kebakaran mudah berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata inisiatif penganjuran kempen kesedaran oleh pihak KPDNKK itu sangat bertepatan bagi memberi pendekatan kepada orang ramai mengenai langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil di stesen minyak.

“Kempen seperti ini bukan sahaja mampu meningkatkan kesedaran dan kepekaan tentang keselamatan, malah ia juga dapat mengeratkan hubungan dan kerjasama antara KPDNKK dengan pengusaha,” katanya.