Segerakan operasi menyelamat mangsa

Segerakan operasi menyelamat mangsa

SHIMLA, India, 20 Sept (AFP) – Anggota menyelamat India bergegas hari ini untuk sampai kepada dua pekerja yang terperangkap lebih daripada 40 meter di bawah tanah selepas sebuah terowong runtuh sebahagiannya lebih seminggu lalu, kata pegawai.

Tiga pekerja terperangkap dalam terowong yang sedang dibina di utara negeri Himachal Pradeh selepas runtuhan menyekat pintu masuk dengan bertan-tan tanah dan batu tongkol pada 12 September.

Makanan dan air digugurkan kepada pekerja sepanjang minggu selepas jurutera menggerudi lubang nipis 47 meter ke bawah bumbung terowong, lapor akhbar Hindustan Times.

Sebuah kamera dan mikrofon jauh diturunkan semalam, membenarkan anggota menyelamat bercakap kepada dua pekerja yang berkata mereka tidak mengalami kecederaan. Nasib pekerja ketiga masih tidak jelas, menurut akhbar.

Menggunakan jentera berat, jurutera telah menghabiskan beberapa hari cuba menggali lubang yang lebih lebar untuk membenarkan anggota menyelamat diturunkan ke dalam terowong, yang merupakan sebahagian daripada projek pembinaan lebuh raya.

Penyelamat India bergegas untuk mencari 2 pekerja yang terperangkap lebih 40 meter di bawah tanah selepas sebuah terowong runtuh minggu lalu. - AFP
Penyelamat India bergegas untuk mencari 2 pekerja yang terperangkap lebih 40 meter di bawah tanah selepas sebuah terowong runtuh minggu lalu. – AFP

Namun usaha telah dihambat oleh kerosakan mekanikal, kata pegawai Pasukan respon Bencana Nasional Jaideep Singh dari tapak di daerah Bilaspur.

“Setakat ini 42 meter telahpun digali. Kami mempunyai beberapa meter lagi untuk sampai ke bumbung terowong,” beritahu Singh kepada AFP.

“Selepas itu kami mungkin memecah dinding yang berbaki secara manual untuk mengelak siling daripada roboh,” katanya.

Anggota menyelamat berharap dapat sampai kepada pekerja lewat hari ini lapan hari selepas mereka terperangkap, dengan doktor sedia menunggu di permukaan.

Keruntuhan terowong dan kemalangan lain adalah kejadian yang biasa berlaku di India, terutamanya dalam industri perlombongan di mana syarat-syarat keselamatan kebanyakannya longgar.