SEHAT rakan kongsi rasmi Spectacle 2016

SEHAT rakan kongsi rasmi Spectacle 2016

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Syarikat IBIC Sdn Bhd, pengilang air botol jenama SEHAT, telah menyumbangkan air Sehat sebanyak 170 kotak sebagai rakan kongsi rasmi Universiti Brunei Darussalam bagi pameran Spectacle 2016.

Majlis penyerahan sumbangan berkenaan telah diadakan di syarikat berkenaan di Telanai baru-baru ini, dan telah disampaikan oleh Pengurus Am dan Kilang syarikat, Alexander Barita Simbolon kepada Pengarah Spectacle 2016, Dayang Nurnabilah binti Haji Mohamed Ismail dan Ketua Komiti Tajaan Spectacle, Dayang Fatin Safwanah binti Zalidin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, UBD ‘Spectacle’ merupakan pameran tahunan bagi seni dan reka bentuk yang diadakan oleh program Seni dan Teknologi Kreatif (ACT).

Pada tahun ini, Spectacle buat kali ke-4 akan bermula 13 April hingga 21 Mei dan dibukakan bagi kunjungan orang ramai di Bilik Galeri, Dewan Canselor, pada jam 9 pagi sehingga 7 malam.

Seperti biasanya, pameran ini berfungsi sebagai wahana bagi mahasiswa/siswi tahun akhir ACT menyalurkan dan mempamerkan variasi ragam dan konsep karya seni yang unik dan tersendiri, hasil daripada pembelajaran dan pengalaman yang diperolehi sepanjang empat tahun di UBD.

Alexander Barita Simbolon (tengah) wakil Syarikat IBIC Sdn Bhd pada penyerahan sumbangan air Sehat kepada pihak Spectacle.
Alexander Barita Simbolon (tengah) wakil Syarikat IBIC Sdn Bhd pada penyerahan sumbangan air Sehat kepada pihak Spectacle.

Ia turut melibatkan subjek yang diperolehi sama ada daripada pengalaman peribadi atau isu-isu yang lebih luas.

Setiap karya seni mereka mengandungi mesej tersirat yang unik dan berdasarkan seni gaya individu tersendiri.

Karya seni ini termasuk lukisan, arca, gambar, video, grafik komputer, mural dan pelbagai media, serta reka bentuk produk.

‘Spectacle’ bukan saja direka untuk mempamerkan karya-karya artis, malah bertujuan untuk membuat pendedahan dan perkongsian sesama artis dan orang ramai tentang keindahan serta penghargaan terhadap budaya, kehidupan, alam sekitar dan isu-isu duniawi.

ARTIKEL YANG SAMA