Sehingga AS$70 juta cari MH370

PUTRAJAYA, 10 Jan – Malaysia hari ini memeterai perjanjian dengan syarikat eksplorasi dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity Limited, untuk menyambung semula pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac, 2014.

Memorandum Persefahaman (MoU) itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman bagi pihak kerajaan Malaysia sementara Ocean Infinity diwakili oleh ketua pegawai eksekutifnya, Oliver Plunkett, pada satu majlis di sini dengan disaksikan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ketika ditemui pemberita selepas pemeteraian MoU itu, Liow berkata pencarian dijangka bermula pertengahan Januari tahun ini dan kapal Seabed Constructor akan menjalankan pencarian meliputi kawasan seluas 25,000 kilometer persegi selama 90 hari.

Beliau berkata pencarian di selatan Lautan Hindi adalah berdasarkan terma “no cure, no fee,” yang bermakna pembayaran hanya akan dibuat apabila serpihan bangkai pesawat MH370 yang hilang itu ditemukan dan disahkan oleh pihak ketiga.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity Limited Oliver Plunkett (kanan) hari ini. – Bernama

Beliau menjelaskan bahawa pembayaran tertakluk kepada lokasi kawasan bangkai pesawat ditemukan berdasarkan pembahagian kawasan pencarian seperti dipersetujui dalam perjanjian.

“Untuk kawasan pencarian utama meliputi 5,000 kilometer persegi pertama, jika mana-mana serpihan ditemukan, Ocean Infinity akan dibayar AS$20 juta, dan AS$30 juta bagi kawasan pencarian sekunder berikutnya meliputi 10,000 kilometer persegi.

“AS$50 juta akan dibayar bagi kawasan pencarian peringkat ketiga merangkumi 10,000 kilometer persegi dan AS$70 juta bagi kawasan pencarian tambahan yang melangkaui 25,000 kilometer persegi,” kata beliau.

“Misi utama Ocean Infinity ialah mengenal pasti lokasi lapangan serpihan pesawat, bangkai dan atau kedua-dua perakam penerbangan – perakam suara kokpit dan Perakam Data penerbangan dan mengemukakan bukti penting dan boleh percaya untuk mengesahkan lokasi sebenar item-item utama, ” kata beliau. – Bernama