Seimbangkan kecemerlangan akademik dan sahsiah

Seimbangkan kecemerlangan akademik dan sahsiah

OIeh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Pihak pengurusan dan pentadbir sekolah-sekolah swasta diseru untuk mempunyai strategi perancangan yang berteraskan Konsep Melayu Islam Beraja (MIB) supaya dapat mengimbangi usaha-usaha melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga dari segi akhlak dan personaliti terpuji.

Perkara itu adalah amat penting kerana selain berusaha keras bagi kecemerlangan bidang akademik, usaha dan ikhtiar perlu ditingkatkan bagi terus memantapkan pendidikan sahsiah para pelajar, saran Timbalan Menteri Pendidikan, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail.

“Tumpuan perlu diberikan kepada kecemerlangan para pelajar bukan sekadar dalam bidang akademik sahaja tetapi juga cemerlang dalam aspek-aspek yang lain iaitu kecemerlangan rohani, sahsiah, emosi dan jasmani.

“Inilah sepatutnya menjadi wawasan pendidikan kita dan lambang kecemerlangan pelajar hari ini,” tambah Dato Seri Setia Haji Yusoff lagi ketika berucap di Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Bagi Tahun 2014 Sekolah-sekolah Rendah dan Menengah Swasta Senegara Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Dato Seri Setia Haji Yusoff menyeru pihak pengurusan dan pentadbir sekolah-sekolah swasta untuk mempunyai strategi perancangan yang berteraskan Konsep Melayu Islam Beraja supaya dapat mengimbangi usaha melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan akhlak.
Dato Seri Setia Haji Yusoff menyeru pihak pengurusan dan pentadbir sekolah-sekolah swasta untuk mempunyai strategi perancangan yang berteraskan Konsep Melayu Islam Beraja supaya dapat mengimbangi usaha melahirkan pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan akhlak.

Beliau juga berkata bahawa negara memerlukan pelajar-pelajar yang mempunyai kecemerlangan seimbang antara cemerlang akademik dan cemerlang sahsiah yang akan memberikan kesan positif dalam menyumbang kepada kemajuan, pembangunan dan kegemilangan negara.

Dato Seri Setia Haji Yusoff juga menyatakan harapan supaya para pemimpin sekolah dan guru-guru akan terus berusaha meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah masing-masing dengan menyediakan pelbagai program yang dapat memberikan kesan positif yang berterusan ke arah komitmen pihak sekolah dalam memaksimumkan potensi semua pelajar.

Di samping itu, beliau menyarankan supaya para pelajar selaku Generasi Berwawasan yang merupakan generasi pewaris masa depan negara, mereka mestilah menjadi generasi yang mempunyai daya tahan yang mampu hidup berdaya saing secara sihat, berdisiplin dan bersifat terbuka untuk menerima apa jua teguran yang membina.

Mereka juga harus mempunyai sifat-sifat terpuji yang boleh dijadikan contoh oleh generasi seterusnya kerana ilmu yang baik hendaklah digandingkan dengan akhlak yang mulia dan terpuji.

“Dalam era globalisasi dan dunia seolah-olah tanpa sempadan ini, para pelajar juga hendaklah mempunyai daya kreatif, berinovatif, berdisiplin dan efektif serta mempunyai fikiran yang positif yang sentiasa berpegang dan mengamalkan K onsep Melayu Islam Beraja (MIB).”

Dato Seri Setia Haji Yusoff di majlis itu, turut mengulas mengenai kejayaan seorang pelajar Tionghua dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan di Majlis Anugerah Cemerlang Kementerian Pendidikan pada 2 Mei lalu yang menjadi penerima pelajar cemerlang dalam mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam (GCE O Level).

Beliau berkata kejayaan pelajar itu menandakan bahawa pelajar bukan Islam boleh memilih mata pelajaran Pengetahuan Ugama Islam sebagai satu mata pelajaran yang memberikan mereka ilmu pengetahuan mengenai Islam.

“Dengan pengetahuan ini, dapat menerangkan kepada mereka mengenai ugama Islam yang sebenar dan mereka akan lebih memahami lagi cara kehidupan orang Islam di negara ini dan di tempat lain.”

ARTIKEL YANG SAMA